Ibu warga emas bina penjara dalam rumah, kurung anak ketagih dadah & judi

Photo of author

By Syima Iza

Ibu warga emas bina penjara dalam rumah, kurung anak ketagih dadah & judi.

Seorang wanita warga emas yang terdesak untuk menjauhkan anak lelakinya daripada ketagihan dadah dan judi telah mengambil tindakan luar biasa dengan memasang sel penjara di dalam rumahnya.

Menurut laporan Oddity Central, selepas lebih 20 tahun hidup dalam ketakutan terhadap anak lelakinya yang ketagihan dadah, wanita berusia 64 tahun dari wilayah Buriram itu mengambil langkah drastik untuk melindungi diri dan jirannya.

Ibu warga emas bina penjara dalam rumah, kurung anak ketagih dadah & judi

Baru-baru ini, dia mengupah kontraktor untuk membina sel penjara di dalam rumah bagi mengurung anak lelakinya yang berusia 42 tahun, dengan tujuan mencegahnya daripada bertindak ganas.

Wanita itu memaklumkan kepada pihak polis bahawa dia telah mencuba segala cara untuk membantu anaknya mengatasi ketagihan dadah selama bertahun-tahun, termasuk membawa anaknya ke lebih 10 pusat pemulihan di seluruh negara. Namun, usaha tersebut gagal dan anaknya menjadi semakin agresif.

Keadaan menjadi lebih buruk apabila anaknya turut ketagih berjudi.

“Selama 20 tahun, saya hidup dalam ketakutan berterusan.

“Saya tinggal berdua dengan anak saya sejak suami meninggal dunia. Salah satu punca kematian suami saya adalah kemurungan dan tekanan akibat masalah ketagihan dadah anak kami.

“Saya memasang palang besi di rumah kerana bimbang akan keselamatan diri dan jiran,” katanya kepada pemberita.

Wanita yang hanya dirujuk sebagai Puan A oleh media itu memastikan anaknya mendapat kemudahan asas. Dia menyediakan ruang antara palang besi untuk menghantar makanan dan air kepada anaknya.

“Bilik dengan jeriji besi ini dilengkapi dengan kemudahan penting seperti katil, bilik mandi, dan WiFi.

“Saya juga membuat ruang kecil untuk menghantar makanan dan minuman kepada anak saya, malah saya memasang sistem kamera litar tertutup (CCTV) bagi memantau tingkah lakunya 24 jam sehari.

“Saya percaya langkah ini akan melindungi saya dan jiran daripada tingkah laku agresifnya,” ujar wanita itu.

Tidak jelas bagaimana pihak polis mengetahui tentang sel penjara buatan sendiri tersebut, tetapi pihak berkuasa merasa bimbang setelah melawat rumah wanita itu minggu lalu.

Seorang jurucakap memaklumkan bahawa wanita tersebut mungkin menghadapi tindakan undang-undang kerana melanggar hak asasi manusia dan melakukan penahanan yang menyalahi undang-undang.

Baca Juga:
‘Dah bayar parkir sampai 4.12 petang, kena saman pukul 4.11’ – Pengguna pertikai tindakan pihak berkuasa PBT
Bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin meninggal dunia pada usia 86 tahun
Ibu tunggal 3 anak tak mahu kahwin lain, netizen pula cadang letak kasut lelaki dekat luar