Ibu tunggal dedah ‘Datuk Seri’ hantar gambar tidak senonoh, tawar wang RM1 juta.
Gangguan yang dialami sejak tujuh tahun lalu menyebabkan seorang wanita hidup dalam keadaan trauma akibat dihendap oleh seorang lelaki bergelar Datuk Seri.
Wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Chan, 46, berkata dia mengenali lelaki berusia 50-an itu ketika bekerja sebagai ejen hartanah pada tahun 2017.
“Pada mulanya, saya selesa berkawan dengannya, namun dia mula menunjukkan sikap agresif yang menyebabkan saya menjauhkan diri daripadanya.
“Tindakan itu menyebabkan dia semakin kerap menghubungi saya, malah menghantar emel setiap hari serta menghantar makanan dan bunga ke rumah,” katanya pada sidang media di Jabatan Perkhidmatan Awam dan Aduan MCA, di sini, hari ini. Turut hadir ialah Ketua Jabatan Perkhidmatan Awam dan Aduan MCA, Datuk Seri Michael Chong, serta Penasihat Undang-Undang jabatan itu, Marcus Chong.
Chan berkata, lelaki tersebut juga telah menceroboh privasinya dengan memberitahu bahawa dia tahu mengenai maklumat peribadinya, termasuk nombor akaun bank dan pergerakannya setiap hari.
“Lelaki itu juga memasukkan wang ke dalam beberapa akaun bank saya, menyebabkan saya terpaksa menutup akaun bank berkenaan.
“Bagi saya, tindakan lelaki itu, yang sudah berkahwin, adalah tidak normal kerana ada masanya dia meluahkan kata-kata cinta, tetapi kadang-kadang mengugut dan memfitnah saya.
“Selain itu, dia juga pernah menghantar gambar tidak senonoh kepada saya serta menawarkan wang sebanyak RM1 juta jika saya bersetuju untuk mengandungkan anaknya,” katanya.
Menurut Chan, sehingga kini, dia telah menerima lebih 2,000 emel daripada lelaki terbabit, yang juga seorang ahli perniagaan, dalam tempoh tujuh tahun perkenalan mereka.
“Saya buntu dengan situasi ini kerana ia jelas mengganggu kehidupan saya sebagai ibu tunggal bersama anak-anak, yang turut hidup dalam ketakutan.
“Saya merayu kepada lelaki itu supaya tidak lagi mengganggu kehidupan saya, ahli keluarga, serta individu di sekeliling kami,” katanya, sambil menegaskan bahawa dia tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap individu berkenaan.
Sementara itu, Michael Chong berkata, pihaknya telah menerima dua kali aduan daripada Chan berhubung gangguan yang diterimanya daripada lelaki terbabit.
“Kali pertama kami menerima aduan daripada Chan mengenai perkara ini adalah pada tahun 2021. Ketika itu, saya telah memanggil lelaki terbabit untuk membincangkan isu tersebut.
“Semasa datang ke pejabat saya (pada 2021), lelaki itu membawa bunga untuk diberikan kepada Chan, tetapi dia menolak pemberian itu.
“Meskipun berlaku sedikit pergaduhan mulut antara mereka ketika itu, saya ingat perkara ini akan selesai, tetapi Chan memaklumkan bahawa dia masih diganggu oleh individu yang sama sehingga kini,” katanya.
Beliau berharap dengan pendedahan isu ini kepada media, ia akan menjadi titik noktah kepada gangguan yang dilakukan oleh lelaki berkenaan terhadap Chan.