Ibu tunggal 3 anak tak mahu kahwin lain, netizen pula cadang letak kasut lelaki dekat luar.
Memegang status sebagai ibu tunggal bukanlah sesuatu yang mudah, lebih-lebih lagi ketika anak-anak sedang membesar.
Selain perlu menggalas tanggungjawab membesarkan anak-anak dengan sempurna dari segi keperluan asas, pendidikan dan sebagainya, satu lagi aspek penting yang perlu diberi perhatian adalah keselamatan.
Bayangkan betapa sukar dan besarnya risiko yang perlu ditanggung, terutamanya bagi ibu tunggal yang hanya tinggal bersama anak-anak kecil.
Demikian juga situasi yang sedang dilalui oleh seorang ibu tunggal yang mempunyai tiga cahaya mata perempuan.
Dalam satu hantaran di laman Facebook, wanita berkenaan meluahkan rasa bimbangnya untuk berpindah ke rumah baharu kerana memikirkan aspek keselamatan, memandangkan kawasan perumahan tersebut masih sunyi.
“Saya beli rumah baharu tapi kawasan rumah tu baru dua unit rumah yang orang tinggal di situ.
“Dok fikir juga nak pindah masuk rumah tu memandangkan saya ni ibu tunggal anak perempuan tiga orang. Suami dah meninggal.
“Tapi kalau tak pindah, bajet pun lari sebab rumah yang tinggal sekarang pun kena bayar bulan-bulan,” kongsinya dalam hantaran berkenaan.
Disebabkan tiada pilihan selain terpaksa berpindah ke rumah baharu, wanita tersebut meminta pandangan warga maya mengenai cadangan untuk mempertingkatkan aspek keselamatan kediamannya.
“Untuk keselamatan mangga pintu, yang terbaik dan berkualiti patut saya beli yang mana?
“Tolong beri pendapat dari segi keselamatan kediaman.
“Tolong jangan suruh saya kahwin lain sebab saya tak nak. Tak terlintas di jiwa saya untuk kahwin lain. Arwah suami saya di dunia dan di akhirat,” kongsinya lagi.
Perkongsian wanita berkenaan mengundang perhatian warga maya dengan rata-ratanya tampil memberikan pelbagai cadangan sebagai solusi kepada masalahnya.
Selain mencadangkan pemasangan gril serta kamera keselamatan, ada di antara netizen memberikan cadangan yang unik dan respons yang lucu.
“Letak kasut lelaki dekat luar. Jangan bagi nampak macam ada perempuan saja dalam rumah.
“Bela anjing jalanan di luar rumah. Kalau nampak anjing jalanan lalu depan rumah, bagi anjing tu makan. Tiga kali bagi makan, anjing tu akan setia dengan puan.
“Pakai kayu selak dari dalam untuk pintu dapur dan pintu depan. Buruk sikitlah tapi keselamatan terjamin.
“Tak suruh akak kawin lain pun. Cuma nak tanya, anak perempuan tiga orang tu dah kahwin ke belum? Umur berapa?” demikian antara reaksi netizen.