Ibu, anak umur 7 tahun ditemui lemas dalam kolam.
Seorang wanita bersama anaknya berusia tujuh tahun ditemukan maut dipercayai lemas dalam sebuah kolam berhampiran rumah mereka di Kampung Nasib Kita, dekat Tawau, semalam.
Wanita berusia lingkungan 40-an itu ditemui penduduk kampung dalam keadaan tidak sedarkan diri.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin, berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu daripada orang awam.
Beliau berkata, mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Tawau untuk bedah siasat, dan pihaknya sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung insiden berkenaan.
“Kita masih menunggu hasil laporan bedah siasat bagi menentukan sama ada kes itu membabitkan unsur jenayah atau tidak.
“Selepas keputusan diperoleh, pihak polis akan mengklasifikasikan kes itu sama ada mati mengejut (SDR) atau kes bunuh,” katanya menerusi kenyataan.
Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya tampil bagi membantu siasatan.
Terdahulu, dua rakaman video masing-masing berdurasi 25 saat dan 37 saat berkaitan kejadian itu tular di media sosial.