Seorang wanita di Gorakhpur, India cuba membunuh diri dengan memanjat tiang elektrik yang bervoltan tinggi selepas bertengkar dengan suaminya akibat hubungan sulitnya yang diketahui lelaki tersebut.
Penduduk kampung segera menghubungi polis dan pada masa yang sama cuba memujuk wanita berusia 34 tahun itu untuk turun, kerana mereka risau bahawa dia mungkin akan terkena renjatan elektrik.
Polis dan jabatan perkhidmatan elektrik segera bertindak ke lokasi setelah menerima panggilan daripada orang awam. Bekalan elektrik turut diputuskan sebagai langkah berjaga-jaga semasa usaha penyelamatan sedang berlangsung.
Video kejadian tersebut yang berlaku pada hari Rabu turut tersebar luas di media sosial.
Menurut polis, wanita yang dikenali sebagai Suman Devi dan juga ibu kepada tiga orang anak, didakwa menjalin hubungan sulit dengan seorang lelaki tanpa pengetahuan suaminya.
Namun, apabila hubungan mereka ‘terbongkar’, wanita itu mencadangkan untuk membawa kekasihnya tinggal bersama-sama, tetapi cadangan tersebut ditentang dengan keras oleh suaminya.
Pasangan suami isteri itu kemudian bertengkar dan akhirnya wanita itu nekad memanjat tiang elektrik untuk membunuh diri.
“Kami berusaha untuk memujuk wanita tersebut turun dengan bantuan jabatan perkhidmatan elektrik.
“Wanita itu berjaya diselamatkan dan dibawa pulang ke rumah bersama suaminya. Sehingga kini, kami tidak menerima sebarang aduan,” kata polis.