Hukum sambutan Hari Ibu, ini penjelasan dari mufti

Photo of author

By Syima Iza

Baru-baru ini, terdapat sedikit perdebatan mengenai sambutan Hari Ibu, sama ada ia dianggap menyerupai golongan kafir dan sebagainya.

Secara ringkasnya, hukum sambutan Hari Ibu adalah dibenarkan dan tidak bercanggah dengan syarak kerana ia bukan termasuk dalam perayaan keagamaan.

Sambutan ini diadakan bagi memuliakan seorang insan yang bergelar ibu serta menzahirkan penghargaan kepadanya atas segala jasa dan pengorbanan yang dilakukan dalam mendidik dan membesarkan anak.

Hukum sambutan Hari Ibu, ini penjelasan dari mufti

Namun begitu, amalan menghargai jasa dan pengorbanan ibu ini tidak terhad pada masa atau tarikh tertentu, malah kewajipannya berpanjangan dan berkekalan sebagaimana yang dititikberatkan dalam al-Quran dan sunah Nabi SAW.

Sejarah sambutan Hari Ibu:

Menurut sejarah moden, sambutan Hari Ibu bermula di Amerika Syarikat (AS) oleh Anna Jarvis dari Philadelphia untuk memperingati ibunya yang menggalakkan gerakan wanita untuk mempromosikan persahabatan dan kesihatan.

Pada 12 Mei 1907, beliau menganjurkan upacara peringatan Hari Ibu di gereja mendiang ibunya di Grafton, Virginia Barat.

Dalam tempoh lima tahun, hampir setiap negeri di AS menyambut sambutan itu. Oleh itu, pada tahun 1914, Woodrow Wilson selaku Presiden Amerika Syarikat menjadikan setiap Ahad minggu kedua Mei sebagai cuti kebangsaan.

Lama-kelamaan, sambutan Hari Ibu tidak terhad kepada sosok ibu sahaja malah ia juga meraikan setiap golongan yang memainkan peranan sebagai ibu seperti nenek dan ibu saudara.

Banyak negara lain turut merayakan Hari Ibu pada tarikh ini, manakala sesetengah negara memperuntukkan perayaan itu pada hari lain dalam setahun.

Namun, tidak dinafikan perayaan Hari Ibu ini sudah bermula pada zaman tamadun purba bagi memperingati dewi kepercayaan masing-masing.

Masyarakat Frigia menyambut Hari Ibu bagi memperingati dewi Cybele, ‘Great Mother of the Gods’, manakala mengikut kepercayaan Yunani, perayaan itu disambut bagi memperingati dewi Rhea.

Perayaan ini juga diadaptasi oleh agama lain yang menyambutnya bersesuaian dengan kepercayaan dan cara masing-masing seperti masyarakat di India yang menyambut Durga-puja (Ensiklopedia Britannica).

Galakan berbuat baik kepada ibu:

Islam memandang tinggi darjat dan kemuliaan kedua-dua ibu bapa.

Terdapat banyak ayat al-Quran dan hadis yang menegaskan kewajipan memuliakan ibu bapa dan kewajiban berbakti terhadap kedua-duanya.

Firman Allah SWT: “Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah dan melahirkan dengan menanggung susah payah… (Surah al-Ahqaf: 15).

Imam al-Maraghi menafsirkan ayat di atas bahawa Allah SWT memerintahkan serta mewajibkan sekalian manusia untuk berbuat baik dan berbelas kasihan kepada kedua-dua ibu bapanya serta berbakti kepada mereka semasa hayat dan juga selepas kematiannya.

Allah SWT menjanjikan ganjaran pahala yang besar kepada orang yang berbakti kepada ibu bapa kerana ia ibadah yang paling utama untuk dilakukan, bahkan mereka yang menderhakai kedua-duanya, perbuatan itu termasuk dalam dosa besar.

Allah SWT mengkhususkan perbuatan berbuat baik kepada ibu kerana mereka banyak melakukan kebajikan, golongan yang lemah dan lebih memerlukan penjagaan dan perhatian.

Sambutan Hari Ibu menurut Islam:

Menurut ulama kontemporari, terdapat dua pandangan menyambut hari ibu:

1.Haram

Penglibatan umat Islam dalam apa-apa perayaan yang menyerupai agama lain adalah dilarang menurut syarak. Hal ini berpandukan kepada hadis daripada Ibn Umar RA bahawa Nabi SAW bersabda: “Barangsiapa yang menyerupai sesuatu kaum dia adalah dalam kalangan mereka.”

Menurut Imam al-San’ani, hadis ini menunjukkan ke atas mereka yang menyerupai golongan fasik, kafir atau pembuat bidaah pada setiap sesuatu yang dikhususkan dengan mereka seperti pakaian (syiar agama mereka), tunggangan atau perilaku mereka maka dia termasuk dalam kalangan mereka.

Tambahan pula, Imam al-Damiri menjelaskan: “Sesiapa yang mengikuti orang kafir dalam perayaan mereka perlu dijatuhkan hukuman takzir (oleh pemerintah).”

Sheikh al-Bujairimi menyatakan yang dimaksudkan dengan mengikuti orang kafir adalah melakukan apa yang dilakukan pada hari perayaan mereka dan hukum perbuatan ini adalah haram.

2.Harus

Menurut Jabatan Fatwa Jordan, sekiranya yang dimaksudkan oleh Hari Ibu apabila mereka menghargai ibu masing-masing dan menghadiahkan ibu dengan hadiah, ia bukanlah termasuk dalam istilah perayaan.

Bahkan ia adalah hari menghargai dan menzahirkan kasih sayang untuk ibu.

Memuliakan ibu pada hari itu dalam pengertian ini adalah suatu adat kebiasaan tidak bercanggah dengan syarak yang menekankan kepentingan mensyukuri dan menghargai ibu bapa tanpa mengira masa serta tempat.

Memuliakan ibu pada Hari Ibu bukanlah dianggap satu tasyabbuh yang dilarang kerana sambutan ini tidak melibatkan upacara khusus dalam agama lain yang bertentangan dengan akidah Islam.

Syeikh al-Tibiy menjelaskan yang dimaksudkan dengan tasyabbuh yang haram adalah meniru syiar agama orang kafir.

Pandangan ini tidak bertentangan dengan fatwa ulama mazhab Syafii di atas kerana maksud haram adalah jika peniruan itu berunsurkan upacara agama. Sambutan Hari Ibu pada zaman kini pula tiada kaitan dengan agama bahkan ia sekadar adat.

Kesimpulannya, hukum sambutan Hari Ibu adalah dibenarkan dan tidak bercanggah dengan syarak kerana ia bukan termasuk dalam perayaan keagamaan. Seiring perubahan masa, sambutan ini tidak lagi dilaksanakan untuk memperingati dewi, bahkan semata-mata disambut bagi memuliakan seorang insan bergelar ibu dan menzahirkan penghargaan kepadanya atas segala jasa serta pengorbanan yang dilakukan dalam mendidik dan membesarkan anak.

Namun, amalan menghargai jasa dan pengorbanan ibu ini tidak terhad pada masa atau tarikh tertentu, malah kewajipannya berpanjangan dan berkekalan sebagaimana yang dititikberatkan dalam al-Quran dan sunah Nabi SAW. Wallahuaklam.

Baca Juga:
ADUN PAS Mata Ayer ditidurkan kerana komplikasi tiroid
Penunggang motosikal pecahkan cermin sisi Ativa dikecam orang ramai
YouTuber terkenal maut selepas ditikam rakan pesaing sewaktu bersiaran langsung