Hobi pelik tapi menarik selebriti Hollywood yang ramai tak tahu.
Setiap individu mempunyai hobi. Namun, wujud perbezaan antara hobi orang biasa dengan golongan selebriti atau kenamaan.
Hakikatnya, semakin kaya atau terkenal seseorang itu, semakin luar biasa hobi yang mereka lakukan. Selebriti Hollywood contohnya, yang memiliki hobi mewah tapi menarik.
Daripada mengumpul pisau, mesin taip sehinggalah haiwan eksotik, artis Hollywood memilih hobi pelik sebagai sebahagian hidup mereka. Berikut empat selebriti yang terkenal dengan hobi menarik!
ANGELINA JOLIE
Jolie ialah individu unik disebabkan hobinya yang tidak sinonim dengan golongan wanita iaitu mengumpul pisau belati.
Pelakon filem Maleficent ini menerusi satu wawancara sebelum ini memaklumkan hobi tersebut diturunkan kepadanya oleh ibunya, Marcheline Bertrand sejak usia 11 tahun.
“Selain cantik dan tradisional, ia mengingatkan kita kepada sejarah,” kata Jolie.
Bintang jelita ini pada 2008 menerima kecaman hebat kerana membelikan anaknya, Maddox yang ketika itu masih kecil, sebilah pisau belati.
Jolie bagaimanapun menjelaskan pisau berkenaan adalah tumpul dan tidak berpotensi untuk mencederakan.
HARRISON FORD
Selain bergelar bintang filem, Ford juga merupakan juruterbang helikopter dan pesawat ringan. Namun obsesi beliau lebih kepada helikopter.
Pelakon berusia 81 ini pernah menyertai latihan penerbangan pada 1960 dengan bayaran sekitar AS$15 (RM80) sejam.
Beliau bagaimanapun tidak menamatkan latihan tersebut. Ford bagaimanapun telah membeli pesawat ringan Grumman Gulfstream II dan melantik seorang juruterbang untuk mengajarnya menerbangkan pesawat tersebut.
TOM HANKS
Bintang filem Forest Gump dan Sully ini sinonim dengan kegemarannya menyimpan pelbagai jenis mesin taip yang dikumpulnya sejak era 70-an.
Hanks dilaporkan memiliki 100 unit mesin taip yang selamat disimpan di kediamannya di Amerika Syarikat. Kecintaan kepada mesin-mesin tersebut telah menarik minat pemenang dua kali anugerah Pelakon Lelaki Terbaik Oscar ini untuk mencipta aplikasi Hanx Writer dan menceritakan tentangnya di dalam buku yang ditulisnya sendiri.
ELTON JOHN
Bintang legenda kelahiran United Kingdom ini terlalu obses kepada kaca mata hitam. Beliau dilaporkan memiliki 250,000 pasang kesemuanya.
John memaklumkan antara koleksi kaca mata hitam kegemarannya adalah jenis bersalut kristal yang dicipta khas untuk dirinya.
Hobi tersebut menjadi sebahagian punca pendapatan penyanyi Rocket Man ini menerusi penghasilan koleksi Elton John Eyewear l melibatkan kerjasama syarikat terkenal seperti Sam’s Club dan Walmart.