Hina penjual air depan khalayak ramai, ini latar belakang pendakwah Gus Miftah yang ramai tak tahu.
Baru-baru ini, kecoh di platform media sosial membincangkan tindakan penceramah bebas yang kini memegang peranan sebagai Utusan Khas Presiden, Miftah Maulana Habiburrahman, atau lebih dikenali sebagai Gus Miftah. Beliau didakwa bersikap angkuh dan biadab.
Kontroversi ini timbul selepas tularnya sebuah video yang memaparkan Gus Miftah mempermalukan seorang penjual minuman teh dalam sebuah majlis.
Siapa Gus Miftah?
Memetik laporan dari laman repo.uinsatu.ac.id, nama sebenar Gus Miftah ialah Miftah Maulana Habiburrahman. Beliau dilahirkan di Lampung pada 5 Ogos 1981 dan merupakan keturunan ke-9 Kiai Ageng Hasan Besari, tokoh yang mendirikan Pondok Pesantren Tegalsari di Ponorogo.
Gus Miftah dikenali sebagai pendakwah yang menyasarkan dakwahnya kepada golongan terpinggir. Pada tahun 2011, beliau mengasaskan Pondok Pesantren Ora Aji di Tudan, Purwomartani, Kalasan, Sleman. Pondok ini bertujuan membantu golongan yang ingin mendalami agama, khususnya mereka yang sering dipinggirkan masyarakat.
Beliau juga sering berdakwah di tempat-tempat yang dianggap luar biasa seperti pusat hiburan malam, menjadikan dirinya tokoh yang kontroversi. Namun begitu, Gus Miftah tetap dikenali dalam kalangan segelintir masyarakat Indonesia sebagai seorang pendakwah yang unik.
Kontroversi Terbaru
Gus Miftah yang juga Utusan Khas Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, terpalit kontroversi selepas menghina dan mempermalukan seorang penjual minuman dalam sebuah acara Magelang Bersholawat. Penjual tersebut, seorang warga emas bernama Sunaji, dihina sebagai bodoh di hadapan khalayak ramai.
Selepas menerima kecaman hebat, Gus Miftah akhirnya bertemu dan memohon maaf secara terbuka kepada Sunaji. Kontroversi ini bagaimanapun membawa hikmah kepada Sunaji, apabila beliau menerima tajaan untuk menunaikan umrah pada awal Ramadan tahun 2025.
Kisah ini menjadi pengajaran kepada banyak pihak dan menunjukkan kepentingan menjaga adab, terutamanya ketika melibatkan individu yang kurang bernasib baik.