Pelakon sensasi Ruhainies meluahkan rasa marah apabila kad jemputan pertunangan digital yang tertera namanya dan aktor Aliff Aziz tular, dan menyatakan rasa kesal terhadap individu yang menyebarkan fitnah tersebut.
Menerusi perkongsian di Insta Story, Ruhainies berkata dia tidak akan menghalalkan pihak yang mempromosikan perniagaan mereka dengan menggunakan namanya tanpa izin demi menaikkan jumlah pengikut.
Ruhainies juga menyatakan bahawa dia sudah terlalu lama berdiam diri dan membiarkan orang lain menyebarkan fitnah terhadapnya.
Tambahnya lagi, segala kenyataan yang dikeluarkan di media sosial dan bukan dalam temu bual dengannya sendiri adalah palsu.
Ruhainies turut memberi amaran bahawa dia tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas sekiranya pihak tersebut tidak memadam hantaran berkenaan.