“Hebat orang lama”- Rumah Pokwe terapung lagi buat kali yang ketiga musim banjir.
Rumah milik A Bakar Che Ahmad, lebih dikenali sebagai Pokwe, kembali menjadi perhatian apabila terapung lagi buat kali ketiga ketika banjir melanda Kampung Tebak, Batu 16, Kemaman. Fenomena ini dikongsikan melalui video yang dimuat naik oleh anaknya di media sosial, di mana Pokwe dilihat berehat bersama pasangannya di beranda rumah mereka.
“Alhamdulillah, tahun ni masih terapung lagi. Semoga mak dan ayah sihat walafiat selalu dan dimurahkan rezeki,” tulis anaknya, Zalie, di laman TikTok miliknya.
Mendapat Perhatian Pemimpin Tempatan
Keunikan rumah terapung ini turut menarik perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih, Mohd Hafiz Adam.
“Rumah terapung Pokwe Viral Batu 16, Kampung Tebak, Kemaman alhamdulillah terapung dengan jayanya. Apapun, berpindahlah ke tempat yang mudah untuk bantuan sampai,” nasihat Hafiz menerusi hantaran di Facebook.
Rumah Terapung Inspirasi Dari Reban Ayam
@jimat_fishing2 #CapCut Alhamdulillah tahun NIE masih terapung lagi… semoga mak dan ayah sihat walafiat selalu dan dimurahkan rezeki…#banjir #rumahkelong #rumahterapung #rumahrakit #jimatfishing #zaliefishing #semuaallahpunya #fyp #fyptoday ♬ suara asli – annanano
Bernama sebelum ini melaporkan bahawa Pokwe berjaya mengatasi masalah banjir dengan membina rumah terapung menggunakan 69 tong plastik dan 54 keping papan fascia. Rumah tersebut siap pada 16 September 2022 dan diinspirasikan daripada reban ayam terapung yang dibina oleh Pokwe pada tahun 2019.
Rumah berkenaan, yang dibina dengan bantuan tujuh anak dan menantunya, mempunyai lima bilik tidur dan dua bilik air, serta mampu menampung beban sehingga 15 tan metrik.
Pujian dan Kekaguman Warga Maya
Rata-rata warga maya kagum dengan kebijaksanaan Pokwe menyelesaikan masalah banjir.
“Sediakan payung sebelum hujan, inilah hasilnya,” komen seorang pengguna.
“Hebat orang lama. Semoga tiang sokongan berdiri teguh dan semoga air tidak deras,” ujar seorang lagi.
“Pak cik ni paling bijak dalam menyelesaikan masalah rumah beliau,” tambah seorang pengguna.
Penambahbaikan Rumah Terapung
Anak Pokwe turut menjelaskan bahawa jumlah pelampung yang digunakan untuk rumah itu telah bertambah sejak ia dibina.
“Dulu 69 (tong), tapi sekarang dah jadi sembilan puluh lebih gitu lah,” katanya menjawab pertanyaan di ruangan komen.
Kisah rumah terapung Pokwe terus menjadi inspirasi kepada orang ramai, terutamanya mereka yang sering berdepan dengan ancaman banjir.