Hasrat bapa temukan anak istimewa dengan Agong, Raja Permaisuri akhirnya tertunai.
Hasrat seorang bapa yang ingin menemukan anaknya dengan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah tertunai apabila pasangan diraja itu mencemar duli di Kampung Penan Muslim, Bintulu sempena Kembara Kenali Borneo di Sarawak baru-baru ini.
Menerusi perkongsian di Tiktok, bapa kanak-kanak berkenaan, Roland Jimba, 48, berkata anaknya, Missclyen adalah seorang yang istimewa apabila dilahirkan dengan wajah dan tubuh berbulu lebat akibat sindrom congenital generalised hypertrichosis (CGH).
Sebelum ini, katanya, muka anaknya yang berusia dua tahun itu hanya dapat dilihat menerusi aplikasi TikTok dan televisyen semata-mata dan disebabkan itu beliau mahu mempertemukan secara empat mata dengan Tuanku dan Permaisuri Agong.
“Saya berhasrat untuk membawa anak saya berjumpa dengan Agong, selama ini Tuanku berdua hanya dapat melihatnya menerusi gambar yang tular jadi disebabkan sudah sampai di kampung saya, saya ingin mempertemukan mereka,” katanya dalam rakaman video berdurasi satu minit itu.
Dalam rakaman video yang sama, Roland dilihat berjaya membawa anaknya berjumpa dengan pasangan berkenaan dan baginda berdua turut menitipkan pesan kepadanya untuk menjaga anak itu dengan sebaiknya.
@umpsamalaysia Hasrat bapa kepada anak istimewa yang tinggal di Kampung Penan Muslim,Bintulu tertunai apabila dapat merakamkan kenangan dengan YDPA Agong dan Permaisuri dalam siri Kembara Kenali Borrneo di Bintulu. Adik Missclyen, 2 tahun, yang cukup istimewa kerana dilahirkan dengan wajah dan tubuh berbulu lebat akibat sindrom congenital generalised hypertrichosis (CGH). Kisah mereka ini pernah disiarkan dalam Majalah 3 tahun lalu. #umpsa #jommasukipt #jommasukumpsa #agongtuankucanselorumpsa #ijazahdualumpsa #umpkiniumpsa #TeknologiUntukMasyarakat #kembarakenaliborneo #RajaBerjiwaRakyat #menjelangharimalaysia #umpkinidikenaliumpsa #kembarakenaliborneo #bintulu #harimalaysia #sarawak #penanmuslim #YDPA #permaisuri #majalah3 ♬ Santai – Faizal Tahir
“Jaga baik-baik ya, ini nanti akan masuk syurga,” titah Al-Sultan Abdullah.
Malah Tuanku Permaisuri turut sempat bertanyakan keadaan Missclyen sama ada Roland ada membawanya berjumpa doktor bagi mendapatkan rawatan lanjut.
Dalam pada itu, mengulas lanjut mengenai pertemuan itu, Roland berkata dia dan isterinya, Theresa Anak Guntin, 28, menunggu rombongan diraja itu selama empat jam iaitu antara jam 1.30 tengah hari hingga 5.30 petang.
Roland berkata, disebabkan lokasi program yang diadakan itu tidak jauh daripada kediamannya, beliau nekad untuk menunggu.
Sementara itu di ruangan komen, rata-rata pengguna media sosial itu turut meluahkan rasa gembira apabila Roland berjaya membawa anaknya bertemua dengan Seri Paduka Baginda berdua.
Malah ada juga yang terharu apabila melihat Permaisuri mendukung Missclyen. Selain itu terdapat juga pengguna media sosial itu yang berharap terdapat dana daripada Istana Negara untuk membantu kanak-kanak itu.
“Harap ada dana dari Istana Negara untuk membiayai kos rawatan adik ini di hospital dalam atau luar negara,” kata pengguna TikTok dengan nama aciksufian86.