Hasil tanam bawang merah, suami isteri raih RM30,000

Photo of author

By Syima Iza

Hasil tanam bawang merah, suami isteri raih RM30,000.

Bermula sebagai projek perintis di kawasan kecil, pasangan suami isteri, Azhar Arshad, 57, dan Haslina Hassan, 59, kini mencapai kejayaan luar biasa dalam menanam bawang merah jenis Bima Brebes dari Jawa Timur, Indonesia.

Menurut laporan Berita Harian, hasil tuaian pertama pasangan ini berjaya menghasilkan pulangan lebih RM30,000, memberikan mereka keyakinan untuk memperluaskan tanaman tersebut di Pahang.

Hasil tanam bawang merah, suami isteri raih RM30,000

Projek tanaman bawang ini bermula pada September lalu di Kampung Pasir Sia, Tembeling Tengah. Dalam tempoh hanya tiga bulan, mereka telah berjaya menuai hampir empat tan bawang merah.

Tidak berhenti di situ, pasangan ini kini merancang untuk memperluaskan kawasan tanaman seluas 1.8 hektar untuk fasa kedua yang dijangka bermula tahun depan.

“Hasil fasa pertama ini adalah satu kejayaan besar, walaupun kami terpaksa belajar banyak perkara baharu, terutamanya kaedah penanaman daripada pekebun di Sumatera Barat, Indonesia,” kata Azhar.

Azhar turut menjelaskan bahawa bawang merah mempunyai tempoh matang yang singkat, antara 75 hingga 90 hari, menjadikannya pilihan tanaman yang praktikal dan kurang membebankan berbanding tanaman lain seperti sayur-sayuran.

Namun begitu, beliau mengakui cabaran utama mereka adalah cuaca yang tidak menentu, terutama hujan lebat, serta ancaman penyakit kulat.

Haslina, yang sentiasa menyokong usaha suaminya, berkata permintaan tinggi bawang merah di Malaysia menjadi motivasi utama mereka untuk mencuba tanaman ini.

“Tanaman bawang merah masih kurang diusahakan di negara kita, walaupun sangat popular di Indonesia dan India. Kami melihat potensi besar di sini, memandangkan permintaan pasaran yang sangat tinggi,” jelasnya.

Sebelum mengusahakan bawang merah, pasangan ini turut menanam pelbagai tanaman lain seperti nanas, kelapa, cempedak, pisang, durian, dan mangga di kawasan sama selama lima tahun.

Namun, kini bawang merah menjadi fokus utama mereka kerana potensi pulangannya yang lebih pantas.

Azhar, yang juga seorang pengurus ladang kelapa sawit di sebuah syarikat swasta, berulang-alik setiap minggu dari Sepang ke Jerantut untuk memastikan kelancaran projek mereka.

Baca Juga:
Netizen terkejut lihat cara wanita ini masuk rumah ikut lubang pagar jeriji
Lelaki buat konten solat dalam air banjir undang pelbagai reaksi netizen
Perjalanan kereta api paling panjang dan lama di dunia, makan masa lebih 21 hari