Harimau belang maut digilis lori di hentian rehat Titiwangsa, badan hancur kepala terputus

Photo of author

By Syima Iza

Harimau belang maut digilis lori di hentian rehat Titiwangsa, badan hancur kepala terputus.

Seekor harimau belang ditemui mati selepas dilanggar sebuah lori dalam kejadian di Banjaran Titiwangsa Jeli-Gerik, Kelantan pada awal pagi Sabtu.

Menurut perkongsian di laman media sosial X, haiwan pemangsa itu dipercayai dilanggar ketika sedang melintas jalan di kawasan tersebut.

Harimau belang maut digilis lori di hentian rehat Titiwangsa, badan hancur kepala terputus

Difahamkan, pemandu lori berkenaan tidak sempat mengelak dan terus merempuh harimau tersebut.

Melalui maklumat awal yang dikongsikan haiwan tersebut turut terseret dan digilis beberapa meter selepas dilanggar.

Turut tular beberapa video dan gambar keadaan haiwan tersebut memaparkan keadaan haiwan itu berada dalam keadaan hancur dan kepalanya terpisah dari badan.

Turut kedengaran suara individu yang merakam insiden tersebut.

“Harimau, harimau kena langgar dengan lori, badan hancur di hentian rehat Titiwangsa,” jeritnya.

Di ruangan komen, seorang pengguna X, @AimanAirin2 menggesa pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Semenanjung Malaysia serta Jabatan Perdana Menteri untuk mengambil tindakan lanjut terhadap kejadian tersebut.

Menurutnya, kejadian ini bukan kali pertama berlaku dan ia perlu diselesaikan dengan segera bagi melindungi haiwan terancam tersebut.

“Jabatan @PERHILITAN dan @jpmgov_ tiada jalan penyelesaian ke untuk mengelak kejadian berulang? Setiap bulan insiden yang sama.

“Lebuh raya tiada jalan khas untuk haiwan liar. Sepatutnya wujudkan jambatan atau pagar sepanjang lebuh raya,” ciapnya.

Setakat laporan ini ditulis, tiada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh pihak berkuasa.

Sementara itu, Pengarah Perhilitan Perak, Yusoff Shariff mengesahkan kejadian tersebut dan memaklumkan bahawa pihaknya menerima maklumat mengenai insiden itu pada pukul 9 pagi dan sepasukan anggota telah digerakkan ke lokasi kejadian.

“Pemeriksaan mendapati, anggota haiwan tersebut dalam keadaan yang telah putus dan hancur.
“Karkas yang hancur kemungkinan turut digilis oleh kenderaan lain yang melalui jalan ini.
“Buat masa ini, kita tak dapat kenal pasti jantina haiwan tersebut sama ada jantan atau betina. Begitu juga dengan beratnya yang tidak dapat dianggarkan. Bagaimanapun, kami percaya ia adalah harimau dewasa,” katanya pada Sabtu.

Jelas beliau lagi, harimau itu berkemungkinan keluar dari habitat hutan berhampiran seperti Hutan Simpan Temenggor, Hutan Simpan Gerik, atau Royal Belum.

“Siasatan kami mendapati, harimau itu telah dirempuh sebuah lori kira-kira pukul 5.30 pagi Sabtu.

“Kami berjaya menahan pemandu tersebut dan dia memberitahu pegawai yang bertugas bahawa dia tidak sempat memberhentikan kenderaan apabila melihat harimau itu di atas jalan dan akhirnya melanggarnya.”

Sementara itu, Yusoff turut menegaskan bahawa individu yang telah mengambil bahagian daripada bangkai harimau seperti kulit, taring, tulang, kuku, atau misai perlu segera menyerahkannya kepada Perhilitan bagi mengelak tindakan undang-undang.

“Kami telah mengumpul bahagian-bahagian yang tinggal dan membuat laporan polis,” katanya.

Yusoff turut menambah, di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar, sesiapa yang didapati memiliki bahagian Harimau Malaya boleh dikenakan denda sekurang-kurangnya RM150,000 dan penjara sehingga 15 tahun.

“Kami bekerjasama dengan pihak polis untuk mengumpul maklumat dan mengesan mereka yang bertanggungjawab mengambil bahagian harimau tersebut,” katanya.

Baca Lagi:
Wanita jejak anak luar nikah 15 tahun lalu diserah kepada keluarga angkat raih perhatian ramai warganet
Lelaki buat ‘live’ jual kain kafan di TikTok laku keras!
Ramai warga Amerika mahu tinggal di Malaysia, tapi mereka takut dengan satu undang-undang ini