Harga pasaran daum ketum bakal cecah RM180 sekilo.
Selepas hampir dua tahun keadaan sepi, permintaan terhadap ketum di Thailand kembali rancak berikutan kerajaan negara Gajah Putih itu dikatakan sedang dalam proses melarang semula penanaman tumbuhan tersebut.
Sekiranya kerajaan Thailand menguatkuasakan larangan ke atas penanaman atau penjualan ketum, harga pasaran dijangka melonjak semula sehingga RM180 sekilogram, dengan aktiviti penyeludupan juga dijangka kembali aktif.
Selepas Thailand ‘menghalalkan’ ketum sebelum ini, aktiviti penyeludupan daun tersebut di kawasan sempadan agak tenang, malah harganya jatuh mendadak sehingga RM8 sekilogram.
Pada masa ini, harga ketum di Thailand telah mula meningkat antara RM30 hingga RM50.
Pengarah Zon Maritim Kuala Perlis, Komander Maritim Mohd. Hashim Mat Zain berkata, pada peringkat awal kerajaan Thailand membenarkan penanaman ketum di negara itu, harga pasarannya merosot sehingga RM8 sekilogram, dan aktiviti penyeludupan juga berkurangan.
Beliau menambah, jika kerajaan Thailand kembali mengharamkan daun ketum, harganya berkemungkinan melonjak, menyebabkan permintaan tinggi yang mungkin mendorong penyeludup kembali mengambil bekalan dari negara ini.
“Malah, dalam kes terbaru kelmarin, kita berjaya merampas satu tan metrik ketum yang dianggarkan bernilai RM50,000, di kedudukan 0.4 batu nautika timur laut muara Kuala Sanglang.
“Bot yang membawa ketum tersebut dipercayai dari Thailand dan disyaki mengambil bekalan ketum di sekitar Kedah untuk diseludup ke negara jiran,” katanya di sini semalam.
Pada Ogos 2021, Thailand memutuskan untuk mengeluarkan ketum dari senarai dadah berbahaya yang digunakan di negara itu.
Jurucakap kerajaan, Anucha Burapachaisri berkata, perubahan tersebut membolehkan orang awam menggunakan atau menjual ketum secara sah di sisi undang-undang.
Susulan itu, harga ketum Malaysia di Thailand yang pernah mencecah RM180 sekilogram turun mendadak sehingga RM30 ke RM20 sekilogram berikutan polisi negara jiran itu.
Penurunan harga sehingga 200 peratus itu turut menyebabkan aktiviti penyeludupan daun tersebut di sempadan negeri ini berkurangan sehingga 50 peratus, dengan tumpuan jualan daun dan air ketum lebih terarah kepada pasaran domestik.
Dalam pada itu, Mohd. Hashim berkata, rampasan terbesar ketum di negeri ini pernah direkodkan pada tahun 2022 melibatkan 8.3 tan metrik dengan anggaran nilai RM1.8 juta.
“Kita akan terus melakukan pemantauan berterusan selepas ini bagi memastikan kegiatan penyeludupan ketum tidak berleluasa dan tindakan boleh diambil di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952,” katanya.