Harga makanan di restoran mamak dijangka naik 5 peratus tahun depan

Photo of author

By Syima Iza

Harga makanan di restoran mamak dijangka naik 5 peratus tahun depan.

Kira-kira 300 pengusaha restoran India Muslim atau mamak di negeri Johor dijangka akan menaikkan harga makanan di premis mereka bermula lima peratus, mulai tahun hadapan.

Setiausaha Persatuan Usahawan India Muslim Negeri Johor, Hussien Ibrahim berkata, kenaikan harga tersebut adalah disebabkan oleh peningkatan kos operasi yang disebabkan oleh kenaikan berterusan harga bahan mentah.

Harga makanan di restoran mamak dijangka naik 5 peratus tahun depan
Gambar hiasan

Menurutnya, peningkatan kos operasi turut berlaku berikutan pelaksanaan gaji minimum RM1,700 yang akan berkuat kuasa mulai Februari depan.

“Kira-kira 300 pengusaha restoran India Muslim atau mamak di Johor mengadu bahawa kos operasi mereka terus meningkat tinggi, dan pelaksanaan gaji minimum yang baru mulai tahun hadapan dijangka akan melonjakkan lagi kos tersebut.
“Selain itu, kami juga perlu mula mencarum pekerja asing kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), yang turut menambah kos operasi kami.
“Peningkatan kos operasi ini sebenarnya disebabkan oleh kenaikan harga bahan mentah yang berterusan akibat pemansuhan subsidi diesel yang terpaksa kami serap,” katanya ketika dihubungi.

Hussien juga berkata, mereka masih menunggu keputusan muktamad daripada persatuan induk mereka, iaitu Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma), sebelum sebarang kenaikan harga makanan dilaksanakan.

Minggu lalu, Presiden Persatuan Pemilik Restoran India Malaysia (PRIM), Datuk J Govindasamy, dilaporkan berkata bahawa kadar gaji minimum yang baru diumumkan oleh kerajaan akan menyebabkan kenaikan harga makanan antara 20 hingga 30 peratus.

Beliau turut menyatakan bahawa peningkatan kos operasi telah berlaku sejak pelaksanaan gaji minimum RM1,500 pada Mei 2022.

Pada 18 Oktober lalu, kerajaan dilaporkan telah bersetuju menaikkan kadar gaji minimum kepada RM1,700 sebulan daripada RM1,500, yang akan berkuat kuasa mulai 1 Februari tahun depan.

Dalam pada itu, Hussien berkata bahawa ketika ini, kebanyakan premis restoran India Muslim atau mamak menggajikan lebih daripada 60 peratus pekerja asing.

Namun, katanya, berikutan kenaikan kos operasi, kebergantungan terhadap pekerja asing mungkin perlu dikurangkan, kerana menggajikan mereka kini menjadi semakin mahal.

“Bagi setiap pekerja asing, kami perlu membayar levi tahunan sebanyak RM2,300 seorang, selain kos asrama dan makanan yang boleh mencecah sehingga RM500 seorang sebulan, selain gaji bersih mereka. Ini belum termasuk pelaksanaan gaji minimum RM1,700 dan caruman KWSP terhadap mereka nanti,” jelasnya.

“Selepas ini, kami perlu mencari lebih ramai pekerja tempatan bagi mengurangkan kos operasi. Kami sanggup menawarkan gaji sehingga RM2,500 sebulan kepada pekerja tempatan, namun tidak ramai yang berminat.

“Kebanyakan generasi muda lebih berminat bekerja di sektor perindustrian, dan hanya mereka yang berusia 40 tahun ke atas yang berminat bekerja di restoran,” tambahnya.

Baca Lagi:
Polis Thailand dedah cerita sebenar penangkapan 6 rakyat Malaysia bersama ribuan pil kuda
Kerap caj telefon kereta boleh menyebabkan bateri kereta cepat ‘kong’
Lagi kes buli, penuntut tahun satu UPNM retak tulang dipijak senior