Harga Arif Aiman kini melambung cecah RM2.3 juta.
Prestasi cemerlang yang diperagakan bintang muda Harimau Malaya dan Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman Hanapi menyaksikan nilainya ikut melambung dan kekal sebagai pemain tempatan termahal Liga Malaysia (Liga M).
Menerusi kemaskini terbaharu daripada laman sesawang transfermarkt.com, nilai pasaran pemain berusia 21 tahun itu kini mencecah RM2.3 juta.
Ini menyaksikan peningkatan kira-kira RM300,000 selepas kemaskini kali terakhir yang dilakukan pada Oktober 2022 menyaksikan nilai pasaran pemain kebangsaan itu adalah RM2 juta.
Secara keseluruhan, pola nilai pasaran pemain itu menunjukkan peningkatan yang ‘sihat’ yang menyaksikan nilainya meningkat sekitar tiga kali ganda hanya dalam tempoh dua tahun.
Bermula pada 2021, Arif Aiman diletakkan nilai sebanyak RM638,000 sebelum meningkat kepada RM766,000 pada kemaskini di penghujung 2021.
Nilai pasaran pemain itu terus meningkat kepada RM1.5 juta pada pertengahan 2022 sebelum menokok kepada RM2 juta pada Oktober 2022.
Kemaskini itu menyaksikan Arif Aiman terus memegang status pemain tempatan termahal meninggalkan pemain lain seperti Matt Davies (RM2 juta), Faisal Halim (RM1.9 juta), La Vere Corbin Ong (RM1.8 juta) dan Afiq Fazail (RM1.6 juta).
Terdahulu, Arif Aiman terus mencipta sensasi apabila meledak hatrik untuk membantu skuad Harimau Selatan membenam Selangor FC 4-0 pada aksi separuh akhir Piala FA 2023, Isnin lalu.
Pemain itu meneruskan rentaknya selepas berjaya meledak lima gol bersama skuad kebangsaan, termasuk empat gol ketika membantu skuad Harimau Malaya membelasah Papua New Guinea 10-0 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, minggu lalu.