‘Haram’ kalau ahli PAS tak keluar mengundi di KKB – Takiyuddin

Photo of author

By Syima Iza

Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, menegaskan bahawa adalah ‘haram’ jika ahli-ahli PAS yang berdaftar tidak memenuhi tanggungjawab mereka untuk mengundi dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Bharu pada Sabtu ini.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa perkara tersebut bukanlah satu ‘fatwa’, tetapi merupakan arahan kepada ahli PAS untuk memastikan mereka mengundi di kawasan tersebut bagi memastikan kemenangan calon Perikatan Nasional (PN), Khairul Azhari Saut.

“Saya menyeru terutamanya kepada rakan saya dari PAS, ‘haram’ bagi ahli PAS jika tidak keluar mengundi di Kuala Kubu Bharu.

'Haram' kalau ahli PAS tak keluar mengundi di KKB - Takiyuddin

“Jika Tok Guru (Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang) menyatakan (mengundi itu) sebagai fardu ain, sama seperti ‘haram’ jika kita tidak melakukannya. Ia bukan satu fatwa, tetapi adalah penegasan daripada kita.

“Untuk memastikan bahawa kita keluar mengundi, kita perlu memastikan keluarga, rakan-rakan, dan jiran-jiran kita mengundi untuk calon nombor satu, Khairul Azhari Saut,” katanya dalam ucapan semalam di Ceramah Perdana Bersama Tan Sri Muhyiddin Yassin di Taman Tanjak.

Takiyuddin juga menyatakan bahawa ahli PAS yang berada di luar kawasan perlu berusaha untuk pulang mengundi sebaik mungkin, dan pihaknya akan membantu mereka.

“Arahan untuk keluar mengundi adalah jelas tertulis dalam Perlembagaan PAS dan ia perlu dipatuhi.

“Dalam Perlembagaan PAS, terdapat arahan daripada parti yang mesti dipatuhi. Tidak mematuhi arahan tersebut boleh mengakibatkan tindakan disiplin,” katanya.

PRK Kuala Kubu Bharu melibatkan pertembungan antara calon dari Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN), Parti Rakyat Malaysia (PRM), dan calon Bebas.

PRK tersebut diadakan berikutan kematian penyandang dari DAP, Lee Kee Hiong, 58 tahun, pada 21 Mac lalu akibat kanser.

Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) bagi PRK Kuala Kubu Bharu adalah seramai 40,226 orang, terdiri daripada 39,362 pengundi biasa, 625 anggota polis, 238 anggota tentera dan pasangan, serta seorang pengundi tidak hadir yang berada di luar negara.

Baca Juga:
Guru ubah kelas jadi kolam renang
Video Axia terbawa nozel pam tular lagi
Lelaki tikam isteri curang dengan berus gigi hingga mati