‘Hanya selangkah lagi’ – Wanita kongsi detik cemas hampir dijual sindiket di Myanmar

Photo of author

By Syima Iza

‘Hanya selangkah lagi’ – Wanita kongsi detik cemas hampir dijual sindiket di Myanmar.

Seorang wanita hampir ‘dijual’ ke Myanmar selepas terpedaya dengan tawaran lumayan sebagai pengasuh oleh pasangan yang mengaku bekerja sebagai konsulat asing di Bangkok, Thailand.

Huda, 41, berkata pasangan tersebut menawarkan upah RM2,000 untuk bekerja sebagai pengasuh bergerak atau ‘travel nanny’ selama empat hari semasa percutian mereka di negara berkenaan, lapor BH.

'Hanya selangkah lagi' - Wanita kongsi detik cemas hampir dijual sindiket di Myanmar

Menurutnya, dia mula berasa musykil apabila aplikasi Google Map menunjukkan dia dibawa menaiki kereta selama enam jam dari Lapangan Terbang Bangkok menuju ke Mae Sot, Tak, berhampiran sempadan dengan ‘hotspot’ aktiviti sindiket di Myawaddy, Myanmar.

“Bila sampai di pekan Tak, ada polis sempadan yang tahan kereta dan minta pasport. Jadi, saya nekad minta tolong dan bertanya jika ada anggota polis yang boleh berbahasa Inggeris.

“Saya beritahu polis itu yang saya ditipu, ketika itu pemandu kereta paksa saya berikan pasport kepada polis tetapi saya enggan.

“Dalam keadaan kelam kabut, polis tahan kereta kami ke tepi dan menyoal pemandu berkenaan.

“Bagaimanapun, pemandu itu tidak mengaku, katanya dia tidak tahu menahu dan tidak pandai berbahasa Inggeris. Malah, pemandu itu juga mengambil wang tunai yang saya bawa berjumlah RM2,000,” katanya.

Huda berkata, dia menggeletar selepas menyedari dirinya hanya selangkah lagi sebelum menjadi tebusan sindiket di Myanmar dan bersyukur diselamatkan oleh polis terbabit.

Menurutnya, sepanjang lima tahun berkecimpung dalam bidang ini, itu kali pertama dia mengalami detik cemas seperti itu.

Katanya, sebelum ini dia bekerja sebagai pengasuh bergerak di beberapa negara lain dengan mengenakan bayaran RM240 sehari dan mengakui tawaran upah lebih dua kali ganda yang diberikan pasangan itu sedikit mengaburi matanya.

“Selalunya saya caj RM240 sehari tetapi pasangan ini tawarkan kepada saya RM2,000 secara sekali gus untuk kerja selama empat hari.

“Malah, kesemua perbelanjaan termasuk tiket penerbangan semuanya ditanggung.

“Saya ada iklan perkhidmatan di media sosial dan pasangan itu menghubungi saya melalui WhatsApp sebelum menemubual saya menggunakan aplikasi Zoom.

“Pasangan berkenaan bercakap dalam bahasa Indonesia, dan mereka menjawab soalan yang saya tanya dengan jawapan yang masuk akal,” katanya.

Menurutnya, dia bertolak ke Bangkok pada 13 Oktober dan dimaklumkan oleh pasangan berkenaan bahawa ada seseorang akan menyambutnya di lapangan terbang sebelum dibawa berjumpa mereka.

Katanya, sejurus mendarat, seorang lelaki berpakaian seragam dipercayai dari salah satu agensi pihak berkuasa Thailand menyambut ketibaannya dan membawanya ke sebuah syarikat pelancongan.

“Saya syak lelaki berkenaan adalah pegawai kastam berdasarkan pakaian seragam dan tag yang dipakainya, serta kehadirannya menyambut saya di kawasan sebelum kaunter pemeriksaan imigresen.

“Disebabkan itu, saya memilih untuk pulang ke Malaysia menggunakan tren kerana khuatir identitinya dikenali jika pulang dengan kapal terbang,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agong Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim, berkata sindiket perdagangan manusia kini menggunakan pelbagai helah.

Katanya, orang ramai diminta untuk berhati-hati dengan sebarang tawaran pekerjaan, terutama yang membabitkan negara jiran seperti Thailand dan Myanmar.

@media.telus Pendedahan seorang wanita yang ikhlas mencari rezeki tetapi hampir masuk ke dalam jerat sindiket. Agak panjang, tapi wajar untuk kita semua ambil pengajaran. #wanita #jual #myanmar #malaysia #cerita #cemas #trending #fyp #bangkok #beritatiktok #mho #kerja #work ♬ original sound – Media Telus

Baca Lagi:
Rupa bulu dinosour berusia 125 juta tahun didedahkan
Rupanya ini sebab kenapa Pak Mat Western ‘Kecewa’ dengan tindakan Fattah Amin selepas buat ‘Live’ jual kambing perap
Pemuda kongsi kisah peluk Islam, mengaku hidup tenang seperti dilahirkan semula