Hanya makan sisa makanan di tong sampah, lelaki ini diiktiraf sebagai jutawan paling berjimat.
Seorang lelaki warga Jerman berusia 80 tahun telah diiktiraf sebagai jutawan paling berjimat di dunia, lapor laman berita Oddity Central kelmarin.
Ini kerana beliau menjalani kehidupan dengan menggunakan makanan dan barangan yang ditemui di tempat pembuangan sampah, meskipun memiliki beberapa hartanah bernilai jutaan euro.
Heinz B, mungkin hanya mempunyai €15 (RM77.67) dalam akaun banknya pada masa ini. Namun, jumlah kecil itu adalah kerana beliau baru sahaja mengeluarkan €700,000 (RM3.6 juta) untuk membeli rumah baharunya yang ke-10.
Baki sebanyak €100,000 (RM517,803) telah dipindahkan ke dalam deposit tetap untuk menjana faedah.
Walaupun Heinz B mungkin tidak kelihatan seperti seorang yang kaya, lelaki berjiwa besi ini tahu bagaimana untuk menambah kekayaannya dan telah berjimat sepanjang hayatnya. Kebijaksanaannya itu menyebabkan beliau tidak memerlukan wang yang banyak untuk meneruskan hidup.
Beliau turut menyatakan bahawa hidup dengan mencari makanan di tempat pembuangan sampah membuatkannya lebih gembira.