
‘Hanya fikir mati kerana sel kanser merebak pada payudara’ – 2 wanita kongsi kisah perjuangan lawan kanser payudara
‘Hanya fikir mati kerana sel kanser merebak pada payudara’ – 2 wanita kongsi kisah perjuangan lawan kanser payudara.
Kematian bapa tersayang akibat kanser hidung tidak mematahkan semangat Sharole Chee, 34, yang pada ketika itu juga sedang berjuang melawan penyakit membawa maut berkenaan, selepas didiagnos menghidap kanser payudara.
Sharole berkata, pemergian bapanya menguatkan lagi jiwanya dan merasakan ‘semangat’ mendiang bersama-sama dalam perjuangan melawan penyakit itu.
“Saya disahkan menghidap kanser payudara tahap tiga pada Oktober 2022, manakala bapa pula meninggal dunia pada Jun lalu.
“Pada mulanya memang takut dan hanya memikirkan saya akan mati akibat penyakit ini kerana sel kanser semakin merebak dan membesar pada payudara kanan,” katanya ketika ditemui pada majlis perasmian Kempen Kesedaran Barah Payudara dan Diabetes ‘Fight For Pink Act For Blue’ anjuran Hospital Pakar Komuniti Perak (PCSH) di sini semalam.
Sharole berkata, sebelum disahkan menghidap kanser, beliau berasa sakit pada payudara serta sesak nafas diikuti kesan kemerahan dan pemeriksaan awal mengesyaki ia hanya keradangan.
Bagaimanapun, beliau yang tinggal di Falim di sini membuat pemeriksaan lanjut di sebuah hospital swasta apabila keadaan itu tidak pulih selepas beberapa hari dan kemudian disahkan menghidap kanser payudara.
“Doktor memberitahu kanser sudah membesar dan menasihatkan saya berjumpa doktor pakar di Kuala Lumpur bagi mendapatkan rawatan lanjut,” katanya yang selepas melalui rawatan kemoterapi dan pembedahan, kini tiada lagi sel kanser dikesan pada payudaranya.
Jangan putus harapan, bangkit lawan penyakit
Justeru, beliau menasihatkan wanita yang disahkan menghidap kanser payudara supaya tidak putus harapan, sebaliknya bangkit untuk memulihkan kesihatan dengan menjalani rawatan iaitu kemoterapi, pembedahan dan radioterapi.
“Saya pernah melalui tempoh yang sangat sukar dan sedih terutama ketika melihat ibu terpaksa menjaga saya dan bapa yang kedua-duanya menghidap kanser.
Bapa akhirnya meninggal dunia pada usianya 58 tahun akibat kanser yang merebak dengan agresif,” katanya.
Beliau yang menjadi penceramah motivasi pada program itu turut meminta orang ramai supaya menjaga kesihatan dari segi pemakanan, rehat yang cukup dan pengurusan stres yang baik bagi mengelak sebarang penyakit termasuk kanser.
Seorang guru Taska, Nurul Bazilah Bazaruddin, 27, berkata beliau disahkan menghidap kanser payudara, pada Disember lalu ketika hamil anak kedua.
Menurutnya, atas nasihat doktor, beliau terpaksa bersalin lebih awal iaitu ketika kandungan berusia tujuh bulan disebabkan sel kanser pada payudara kirinya merebak dengan cepat hingga lima sentimeter dalam tempoh sebulan.
“Saya bersalin secara pembedahan dan amat bersyukur bayi perempuan saya selamat.
“Selesai tempoh berpantang saya terus jalani rawatan kemoterapi sebelum disusuli radioterapi. Kini saya sudah lengkap jalani enam kali rawatan kemoterapi dan tiada lagi sel kanser dikesan pada payudara saya,” katanya.
Nurul Bazilah, yang tinggal di Rapat Setia, mengakui amat tertekan sepanjang menjalani rawatan kemoterapi lebih-lebih lagi apabila mengalami keguguran rambut yang teruk, namun berjaya bangkit dengan sokongan suami.
Bagi mengisi masa terluang, kini beliau menyertai kempen Pink Champion bagi membantu meningkatkan kesedaran mengenai kanser payudara dalam kalangan wanita, sekali gus menjadikannya lebih menghargai orang di sekelilingnya.
Sementara itu, program turut PCSH memberikan bantuan saringan kesihatan kepada badan bukan kerajaan (NGO) berbentuk 100 baucar ujian mamogram dan ultrasound bagi pengesanan awal barah payudara serta 100 baucar pemeriksaan kesihatan komprehensif diabetes bernilai lebih RM30,000 untuk diagihkan kepada komuniti yang memerlukan.
Kempen ini adalah kerjasama strategik antara PCSH, Kinta Properties, International Ipoh Fashion Week (IIFW) dan rakan kolaborasi yang lain.