Hantu ‘mengilai’ sergah pengguna jalan raya berjaya ditangkap

Photo of author

By Syima Iza

Hantu ‘mengilai’ sergah pengguna jalan raya berjaya ditangkap. Selepas hampir tiga minggu tular tentang kemunculan ‘hantu’ di sekitar kawasan Jalan Austin Heights Utama, polis akhirnya berjaya menahan seorang wanita yang dipercayai mengalami masalah kesihatan mental, semalam.

Wanita gelandangan berusia 31 tahun itu, yang diburu polis sejak video kejadian tular pada 27 Julai lalu, ditahan pada jam 10.51 malam di lokasi berkenaan.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat, berkata hasil siasatan awal mendapati wanita tersebut menyamar sebagai ‘hantu’ dengan tujuan menakut-nakutkan pengguna jalan raya. Dia kemudian akan menyergah dan menendang mana-mana kenderaan sebelum berpura-pura dilanggar.

Hantu 'mengilai' sergah pengguna jalan raya berjaya ditangkap

Raub menjelaskan bahawa selepas ‘dilanggar’, wanita itu akan memeras ugut pemandu kenderaan dengan meminta wang sebagai ganti rugi.

“Pada jam 12.30 tengah hari, 27 Julai lalu, polis menerima satu video tular di media sosial yang menunjukkan seorang individu menyerupai hantu menyergah kenderaan di tepi jalan.

“Kita kemudian membuat rondaan untuk mengesan dan menahannya, namun beberapa kali gagal kerana individu terbabit melarikan diri.

“Anggota polis yang bertugas memaklumkan bahawa wanita itu akan mengilai ketika kejadian, namun akhirnya semalam kita berjaya menahannya dan dipercayai dia mempunyai masalah mental,” katanya dalam satu sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan, hari ini.

Menurut Raub, semakan rekod lampau menunjukkan suspek mempunyai satu rekod jenayah di bawah Seksyen 448 Kanun Keseksaan dan telah didenda RM1,000 pada 27 Jun 2018.

Ujian saringan awal air kencing mendapati suspek negatif dadah.

“Kita juga telah membuat semakan rekod perubatan dan mendapati suspek pernah dimasukkan ke Zon Kuning Hospital Sultan Ismail (HSI) pada 2022 dan 2023 akibat kemalangan dan mengalami kemurungan.

“Pagi tadi, kita merujuk suspek ke HSI untuk pemeriksaan lanjut berkaitan kesihatan mentalnya dan masih menunggu keputusan,” katanya.

Raub menambah bahawa kes ini disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan, Seksyen 79(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987, dan Peruntukan 23 Peraturan-peraturan Lalu Lintas Jalan 1959.

Beliau turut mengingatkan mana-mana pengguna jalan raya yang pernah menjadi mangsa pemerasan oleh suspek supaya tampil membuat laporan polis bagi membantu siasatan.

Baca Juga:
Juruterbang abangcaptain dedah ‘lift dump spoiler’ tidak boleh keluar ketika berada di udara
Pemilik Tesla kantoi’ curi elektrik dirumah selepas TNB serbu kediaman
Setiap hari laung azan, wanita kongsi pengalaman 19 hari tersesat dalam hutan tebal