Guru sekolah agama hina orang asli, sekali Uncle Barry hantar mesej ‘padu’ desak letak jawatan

Photo of author

By Syima Iza

Guru sekolah agama hina orang asli, sekali Uncle Barry hantar mesej ‘padu’ desak letak jawatan.

“Orang Islam mempunyai keperibadian yang tinggi. Ingat cik, Islam bukan eksklusif milik Melayu sahaja.”

Demikianlah nasihat seorang lelaki dalam satu kiriman mesej kepada seorang guru di sebuah sekolah agama di Negeri Sembilan yang merendah-rendahkan masyarakat Orang Asli susulan keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, semalam.

Lelaki tersebut dikenali sebagai Uncle Barry, seorang Orang Asli suku Jakun dari Kuantan, Pahang, menghantar mesej tersebut untuk menyatakan rasa kecewanya terhadap penghinaan yang dibuat oleh guru tersebut.

Guru sekolah agama hina orang asli, sekali Uncle Barry hantar mesej 'padu' desak letak jawatan

Menurutnya, penghinaan sebegitu bukanlah kali pertama berlaku, malah sudah beberapa kali dilemparkan kepada keseluruhan masyarakat Orang Asli.

“Assalamualaikum, saya sebagai wakil dari komuniti Orang Asli mencadangkan cikgu tersebut meletak jawatan atau dikenakan tindakan tatatertib dan dilucutkan jawatan.

“Perkara menghina macam ini bukan sekali dua terjadi kepada kami. Saya dah mesej dia secara ‘personal’ di Facebook. Sungguh saya berasa sangat-sangat kecewa,” tulisnya di aplikasi X.

Terdahulu, tular kenyataan seorang guru yang menyamakan penyokong parti tertentu dengan masyarakat Orang Asli.

Kenyataan itu mengundang pelbagai reaksi, terutama mengenai kewajaran merendah-rendahkan kaum tertentu.

Sementara itu, Uncle Barry dalam kiriman mesejnya kepada guru tersebut di Facebook menyatakan bahawa agama Islam bukan hanya eksklusif untuk kaum Melayu, bahkan Orang Asli juga ada yang menganutnya.

“Semasa saya belajar di Sekolah Agama dulu, saya tidak diajar untuk merendah-rendahkan bangsa lain, malah ustazah saya pesan supaya hormat dan tunjukkan bahawa kita orang Islam mempunyai keperibadian yang tinggi.

“Ingat cik, Islam bukan eksklusif milik Melayu sahaja. Bercampurlah. Jangan duduk di bawah tempurung sahaja. Bila hanya bergaul dengan puak sendiri, beginilah jadinya. Rasa diri sempurna, rasa diri mulia, rasa diri sudah di atas sana,” ujarnya.

Hari ini, Kosmo! melaporkan bahawa guru tersebut kini disiasat oleh Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS) kerana melemparkan hinaan itu secara terbuka di platform media sosial.

Pemangku Pengarah JPNS, Putra Hashim, berkata pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana guru yang melanggar peraturan-peraturan yang berkuat kuasa.

“Siasatan lanjut akan dijalankan berdasarkan Subperaturan 19(1)(a), Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 [P.U.(A) 395/1993] berkaitan Pernyataan Awam.

“Berdasarkan peraturan berkenaan, seseorang pegawai awam tidak boleh, secara lisan atau bertulis atau dengan apa-apa cara lain membuat pernyataan awam yang boleh memudaratkan apa-apa dasar, rancangan dan keputusan kerajaan tentang apa-apa isu,” katanya.

Baca Juga:
Lelaki aneh dalam semak intai wanita jemur kain
Putaran bumi semakin perlahan, satu hari di bumi akan menjadi 25 jam
“Siapa Datuk H? kalau saya tipu depan tu masjid..berdosa” – Adira