Guru paksa anak murid beli insurans jika mahu dilantik jadi pengawas sekolah

Photo of author

By Syima Iza

Guru paksa anak murid beli insurans jika mahu dilantik jadi pengawas sekolah.

Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor telah mengesahkan bahawa pihaknya sedang menyiasat satu aduan mengenai dakwaan penyalahgunaan kuasa yang melibatkan sepasang suami isteri, kedua-duanya guru, yang didakwa memaksa anak murid untuk membeli insurans dengan mereka, lapor MalaysiaKini.

Pasangan guru ini dikatakan telah memaksa murid-murid untuk membeli insurans nyawa sebagai syarat untuk dilantik sebagai pengawas sekolah atau Pembimbing Rakan Sebaya (PRS). Pengarah JPN Selangor, Jafri Abu, menyatakan bahawa aduan tersebut sudah dimaklumkan kepada pihaknya.

Guru paksa anak murid beli insurans jika mahu dilantik jadi pengawas sekolah

Siasatan lanjut akan dilakukan oleh Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Klang untuk menyiasat kesahihan dakwaan ini.

“Ya, betul dan dalam makluman JPN. Dalam penelitian JPN dan siasatan akan dilaksanakan oleh pihak PPD Klang,” katanya.

Aduan ini dikemukakan oleh seorang ibu tunggal yang menyatakan bahawa anaknya, pelajar di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Simpang Lima, Klang, telah dimaklumkan oleh guru-guru tersebut bahawa dia perlu membeli insurans nyawa sebelum boleh dilantik menjadi pengawas sekolah atau PRS.

Ibu tersebut mendakwa bahawa keadaan kewangan keluarganya yang terhad membuatkan mereka tidak mampu menuruti permintaan tersebut.

Lebih mengejutkan, ibu itu mendakwa bahawa anaknya tidak dilantik sebagai pengawas setelah menolak tawaran untuk membeli insurans berkenaan.

Namun, dakwanya lagi, pasangan guru tersebut masih terus menekan anaknya untuk membuat pembayaran, seolah-olah menambahkan beban terhadap keluarganya yang sudah berada dalam kesusahan.

Ibu terbabit turut menyatakan bahawa aduan rasmi telah dibuat kepada pihak sekolah, namun sehingga kini tiada sebarang tindakan yang diambil untuk menangani isu tersebut.

Dalam surat yang dikongsikan kepada Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh, serta JPN Selangor, ibu itu memohon supaya Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan pihak PPD mengambil tindakan tegas agar perkara sebegini tidak berulang pada masa depan.

Baca Juga:
Detik cemas penumpang mengamuk cuba buka pintu kecemasan pesawat di udara
PMX kongsi gambar di Instagram, netizen komen suruh berehat seminggu
Betul ke Ruhainies & Zul Ariffin dah berkahwin?