Guru gotong-royong bersih kutu kepala murid-murid dapat pujian ramai
Satu klip video di laman sosial TikTok milik seorang tenaga pengajar yang menggunakan nama Cikguoffroad, cukup membuktikan bahawa tugas seorang guru di pedalaman tidak seperti kebanyakan guru-guru di bandar.
Klip video tersebut menyaksikan sekumpulan guru di sebuah sekolah pedalaman melakukan satu aktiviti membersihkan kepala anak murid mereka yang difahamkan daripada golongan Orang Asli di Sekolah Kebangsaan Pos Balar, Gua Musang, Kelantan.
Menurut kapsyen klip video tersebut, perkongsian itu hanya untuk mendedahkan apa yang dilakukan oleh tenaga pengajar di sekolah-sekolah di pedalaman yang masih ramai tidak tahu.
“Ada yang memuji dan ada juga yang mengeji, namun tugas kami bukan sahaja mendidik tetapi juga menyantuni mereka seperti anak sendiri.
“Semua guru begini, saat mereka hadir ke sekolah, itupun sudah kami berbangga kerana di sinilah segalanya bagi mereka. Maka inilah kisah kami di belantara.
“Kami tidak terkinja-kinja. Kami hanya lakukan apa yang perlu. Begitulah,” tulisnya.
@cikguoffroad Kebersihan sangat perlu.Aku cuma kongsi kisah guru-guru yang bukan semua orang tahu. Ada yang mengeji ada yang memuji.Namun tugas kami bukan sekadar mendidik tetapi menyantuni mereka seperti anak kami sendiri.Semua guru begini.Saat mereka hadir ke sekolah, itupun kami sudah rasa berbangga kerana di sinilah segalanya untuk mereka.Maka inilah kisah kami di belantara.Kami tidak berjoget.Kami tidak terkinja kinja.Kami hanya melakukan apa yang perlu.Begitulah. #cikgutiktok #gurupedalaman #sekolahpedalaman #muridorangasli #orangaslitemiar #cikgusekolah #sekolahkurumahku #amanahkami ♬ Sedekah – XPDC
Rata-rata pengguna media sosial turut menulis komen memuji cara kumpulan tenaga pengajar itu yang menjadikan anak murid mereka seperti anak kandung mereka sendiri.
“Lain dengan cikgu-cikgu yang ada di bandar. Pakaian pun dah mengalahkan pelakon, berjoget bagai dalam video. Sebak tengok cikgu-cikgu di pedalaman yang mengerah tenaga mendidik anak bangsa,” jelas Norman Fadilah.
“Aku tabik dengan semua guru yang betul-betul menjadi guru, anak murid seperti anak sendiri. Tidak nampak keluhan di wajah mereka. Hanya senyuman dan gelak tawa penawar duka. Tahniah cikgu,” tulis Farihan Mustapa.