Graduan jurutera UniMAP usaha kebun ‘pintar’ dilengkapi WiFi solar, CCTV dan pagar ekektrik

Photo of author

By Syima Iza

Graduan jurutera UniMAP usaha kebun ‘pintar’ dilengkapi WiFi solar, CCTV dan pagar ekektrik.

Sekitar tahun 2021, keluarga Muhammad Rusydi Baharudin, 25, membeli sebidang tanah hutan seluas satu ekar di Kuala Klawang, Negeri Sembilan, dengan niat untuk mengusahakannya menjadi kebun.

Pada awalnya, mereka merancang untuk menanam durian dengan permulaan sebanyak 25 pokok.

Graduan jurutera UniMAP usaha kebun 'pintar' dilengkapi WiFi solar, CCTV dan pagar ekektrik

Namun, lokasi kebun tersebut yang terpencil dan agak jauh dari tempat tinggal mereka memaksa keluarga itu berulang-alik sejauh 30 kilometer untuk menguruskan tanah berkenaan.

Perkara itu mendatangkan kesukaran kepada Muhammad Rusydi dan bapanya yang perlu bekerja menguruskan perniagaan butik pakaian mereka yang terletak di Seremban.

“Biasalah bila kita buka kebun, perasaan tu memang rasa macam setiap hari nak datang ke kebun. Ada kalanya memang setiap hari kami pergi. Kadang-kadang tu, dah pukul 6 atau 7 petang pun kami masih nak pergi juga,” katanya.

Bertitik tolak dari situ, Muhammad Rusydi yang juga graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Kimia dari Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) mula mencari cara untuk memudahkan pengurusan kebun terbabit dengan mengambil inspirasi daripada konsep rumah pintar.

“Jadi terfikir waktu itu, kalau saya boleh masukkan WiFi dekat kebun ini, saya boleh pasang CCTV. Bila dah pasang kemudahan itu, ayah saya boleh tengok video dari rumah. Jadi, kuranglah perasaan takut dia kalau-kalau ada orang atau haiwan yang kacau kebun,” kata Muhammad Rusydi yang juga bertugas sebagai pengurus operasi perniagaan butik pakaian keluarganya.

Disebabkan itu, perkara pertama yang dilakukannya adalah memasang WiFi solar di kebun bagi kemudahan internet.

Menurutnya, pemasangan WiFi sangat penting kerana banyak automasi di kebun memerlukan sambungan internet.

Katanya, dengan mengambil kira keadaan tanah kebun yang berbukit, dia juga memutuskan untuk menggunakan sistem pam ram yang mesra alam. Sistem ini berfungsi melalui graviti tanpa memerlukan bekalan elektrik mahupun bahan api untuk menyalurkan air ke kawasan setinggi 50 meter.

Dengan kemudahan internet yang tersedia, Muhammad Rusydi berkata dia berjaya mengautomasikan hampir semua aktiviti rutin utama di kebunnya, seperti pam ram, penyiram pokok automatik, dan pemberi makan ikan automatik di kolam yang dibangunkannya.

“Jadi, kalau sebelum ini mungkin kami datang tujuh hari seminggu, sekarang ini mungkin tiga atau empat kali sahaja datang. Sebabnya, kerja-kerja rutin di kebun itu dah kami automatikkan,” ujarnya.

Graduan jurutera UniMAP usaha kebun 'pintar' dilengkapi WiFi solar, CCTV dan pagar ekektrik

Lebih menarik, Muhammad Rusydi berkata dia juga boleh mengawal dan memantau operasi di kebun tersebut meskipun ketika berada di luar negara untuk urusan perniagaan.

“Jadi, macam ayah saya, kalau dia pergi ke luar negara, dia biasanya mesti rasa nak balik awal sebab nak bagi makan ikan. Ikan benda hidup, kalau tak bagi makan, boleh mati pula. Jadi, dia ada perasaan macam itu.

“Tapi sejak pasang pemberi makan automatik dan sebagainya, kita dah tak perlu risau dah tentang benda-benda rutin. Tempoh hari, waktu kami pergi Indonesia dan Guangzhou, China pun, kami boleh pantau kebun.

“Jadi, tiada isu selagi tempat yang saya pergi itu ada internet,” ujarnya.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by rusydibaha (@rusydi_baha)

Menurut Muhammad Rusydi, pembangunan kebun pintar yang turut dilengkapi dengan pagar elektrik dilakukan secara berperingkat sejak dua tahun lalu dan dianggarkan memerlukan perbelanjaan sekitar RM25,000.

Ujarnya, sebahagian besar daripada kos tersebut digunakan untuk membina sebuah rumah kecil di kebun tersebut, yang turut membolehkannya menggabungkan semua sumber tenaga solar yang digunakan di kebun terbabit.

Muhammad Rusydi berkata, dia dapat mencatatkan penjimatan yang cukup banyak kerana membangunkan kesemua kemudahan tersebut secara sendiri atau DIY (Do It Yourself).

“Sebab saya belajar kejuruteraan, jadi saya pun nak pastikan kos yang dikeluarkan itu adalah kos paling efektif. Jadi, pembelian barang itu dibuat selepas saya kaji betul-betul.

“Contohnya, macam kita nak tarik paip, saya akan kira dahulu sama ada dengan pakai dron atau pengukur. Saya bukan jenis yang beli barang dulu, lepas itu baru pasang,” katanya.

Pada masa sama, Muhammad Rusydi mengakui bahawa dalam tempoh dua tahun tersebut, kebunnya turut berdepan dengan isu seperti serangan haiwan, khususnya monyet, yang merosakkan kemudahan pintar yang dipasang.

“Pemberi makanan automatik di kebun menjadi tempat kegemaran monyet bergayut. Tapi bila kita sedar apa masalahnya, kita dapat tangani perkara tersebut dengan pemberi makanan yang digunakan sekarang ini, iaitu prototaip yang keempat,” ujarnya.

Sementara itu, Muhammad Rusydi berkata kebun yang diusahakannya itu sememangnya bukan untuk tujuan komersial.

Bagaimanapun, katanya, jumlah hasil yang dikeluarkan di kebunnya itu boleh dikatakan agak memberangsangkan, terutamanya dalam penternakan ikan yang diusahakan di kolam.

“Contohnya, ikan tilapia yang diternak. Pada awalnya saya lepaskan lebih kurang 300 ekor sahaja. Tapi sekarang, jangkaan saya, ikan-ikan itu dah beranak dan cecah lebih 2,000 ekor.

“Jadi, ikan ini pun dah jadi salah satu hasil utama dekat kebun kami. Sebabnya, kami memang tanam durian pada awalnya, tapi tahulah, durian pun paling awal (berbuah) enam tahun atau lima tahun baru boleh nikmati hasilnya,” katanya.

Pada masa yang sama, Muhammad Rusydi berkata, dia turut menubuhkan satu komuniti di Telegram yang kini terdiri daripada kira-kira 1,300 ahli untuk berkongsi ilmu mengenai pertanian pintar.

Ujarnya, dia juga menganjurkan kelas perkongsian percuma hampir setiap minggu di platform TikTok atau Google Meet, yang lazimnya disertai kira-kira 30 hingga 40 orang peserta.

“Kadang-kadang kita ajar mengenai solar, pertanian pintar dan pelbagai lagi perkara.

“Perkara yang paling bermakna adalah apabila saya boleh lihat perkembangan peserta yang diajar ini, daripada yang langsung tak tahu apa-apa, sampai ada yang dah boleh buka ladang sendiri dengan sistem pertanian pintar,” ujarnya.

Baca Lagi:
Orang ramai cemas badak sumbu gergasi kejar penunggang motosikal
“Hati tiba-tiba rasa tak sedap, aku buka beg duit suami, terkejut ada 2 keping kad kahwin”
Lelaki kena patuk di ular atas dahi santai buat ‘Review’