Geng basikal lajak kena hukum ketuk ketampi undang pelbagai reaksi

Photo of author

By Syima Iza

Geng basikal lajak kena hukum ketuk ketampi undang pelbagai reaksi.

Satu rakaman video yang tular di media sosial menunjukkan sekumpulan remaja dikenakan denda ketuk ketampi oleh anggota polis trafik, yang nyata mencuit hati warganet.

Dalam rakaman video itu, lebih 20 remaja lelaki dipercayai bawah umur dilihat diarahkan melakukan hukuman tersebut sambil diperhatikan oleh beberapa anggota polis trafik.

Geng basikal lajak kena hukum ketuk ketampi undang pelbagai reaksi

Lokasi sebenar kejadian tidak dapat dipastikan, namun dipercayai berlaku di ibu kota berdasarkan latar belakang dalam rakaman video tersebut.

Kumpulan remaja itu dipercayai ditahan kerana menunggang basikal lajak, dan kelihatan barisan basikal lajak disusun di belakang mereka.
Situasi yang jarang berlaku itu turut menarik perhatian orang ramai yang berada di sekitar kawasan tersebut untuk menonton serta merakam kejadian berkenaan.

Melihat kepada ruangan komen, kebanyakan warganet menyokong tindakan anggota polis trafik yang memberi hukuman sebagai pengajaran, selain menyifatkan denda berkenaan sebagai ‘hukuman yang comel’.

Seorang pengguna Instagram, hj_hannahh menulis, “Comel je denda dari polis pun. Nak saman kesian, budak-budak.”

Ismaliza Ismail pula menulis, “Ha merayap lagi malam-malam. Semoga jadi anak-anak yang baik berjaya dunia dan akhirat #tapicomeysangat.”

“Takpe dik, kenangan ni. Jadikan ianya satu hal yang boleh mengubah awak lebih baik lepas ini,” kata Puan Maz.

“Hah kan dah kena, comel pulak kena macam tu,” kata Noor Erni Shakila Salim.

Sidah Rosidah pula menulis, “Polis memang terbaik, dah macam ayah dengan anak atau cikgu kepada anak-anak murid. Semoga anak-anak muda ini sentiasa dijauhi dari bahaya.”

Pada sambutan ambang tahun baharu 2025 di ibu negara malam tadi, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur menjalankan operasi dan pemantauan di sekitar ibu kota sehingga awal pagi.

Operasi ini dijalankan bagi membanteras kegiatan lumba haram dan samseng jalanan serta aktiviti yang menyalahi undang-undang.

Baca Lagi:
Lelaki kongsi video masak nasi goreng ikan bilis atas ‘Tower crane’ raih perhatian ramai
Ini senarai perkara baharu akan berkuat kuasa 1 Januari 2025
Ini senarai telefon tidak boleh guna aplikasi Whatsapp bermula January 2025