Dua lelaki dipercayai warga asing terlibat dalam kegiatan mencuri duit tabung di Masjid Kampung Bukit Perah, Ajil, Terengganu pada Sabtu lalu.
Perbuatan mereka dirakam menerusi kamera litar tertutup (CCTV) masjid berkenaan sebelum dikongsikan di media sosial pada Selasa.
Menerusi klip berdurasi 5 minit 41 saat itu, seorang lelaki pada awalnya dilihat seakan-akan bermain telefon pintar sambil memusingkan kepalanya beberapa kali untuk memerhatikan keadaan sekeliling.
Setelah memastikan keadaan benar-benar selamat, dia kemudian berpura-pura baring di sebelah tabung tersebut sebelum tangannya ligat membuka tabung itu dari bahagian bawah, dibantu oleh seorang lagi lelaki yang memakai pelitup muka.
Selepas tabung tersebut berjaya dibuka, kedua-duanya bergegas mengambil wang kertas dan syiling yang bertaburan di atas lantai.
Identiti sebenar kedua-dua lelaki masih belum dapat dikenal pasti.
Setakat berita ini ditulis, masih belum ada sebarang kenyataan media dikeluarkan oleh pihak berkuasa mahupun pihak masjid.