Gaya tekekung ‘ala kanopi’ Vida semasa solat terawih ditegur netizen. Usahawan terkenal, Datuk Seri Vida sekali lagi mencuri perhatian netizen apabila tampil dengan gaya telekung ‘ala kanopi’ ketika melakukan solat tarawih pertamanya di sebuah masjid, malam tadi.
Gara-gara berkongsi gaya yang dianggap aneh tersebut, tindakan usahawa berusia 52 tahun itu mendapat pelbagai reaksi daripada netizen yang rata-ratanya tidak gemar dengan rekaan telekung yang dipakainya.
Menerusi perkongsian yang dimuat naik Vida dalam Instagram miliknya, usahawa yang gemar memakai perhiasan barang kemas itu berkongsi sebuah video memohon doa kepada Allah SWT sempena kedatangan bulan Ramadan.
“Alhamdulillah solat tarawih pertama malam ini (malam tadi). Assalamualaikum semua. Salam Ramadan daripada saya. Semoga ibadah kita diterima Allah, diangkat darjatnya dan diampunkan dosa.
“Diberikan kesihatan yang baik, perlindungan, hidayah serta kekayaan di dunia dan di akhirat,” ujarnya.
Tumpuan netizen tidak boleh lepas daripada memperkatakan tentang rekaan telekung yang digayakannya apabila mempersoalkan tujuan Vida atau nama lengkapnya Hasmiza Othman memperagakan rekaan begitu semasa sedang beribadah.
“Kenapa kena labuh sampai seret atas lantai?” soal seorang pengguna Instagram.
“Islam bukan agama main-main kalau sekadar untuk buat content tentang telekung itu,” tegur seorang lagi netizen.
“Bagus kalau ada niat yang baik. Tapi bila buat sesuatu, buatlah betul-betul yang ada manfaat pada kita dan orang lain,” kata seorang pengikutnya.
Dalam pada itu, terdapat juga netizen menasihati Vida agar tidak menjadikan sesuatu berkaitan agama sebagai kandungan atau bahan untuk media sosialnya bagi menjaga sensitiviti masyarakat Islam yang lain.
“Cukuplah content di rumah sahaja. Mohon jangan sampai melibatkan ibadah. Islam menggalakkan wanita melabuhkan baju, tetapi hanya sehasta dari buku lali. Tolonglah jangan buat sesuatu yang boleh menimbulkan riak dan fitnah,” tegur seorang netizen.
Sebelum ini, Vida pernah menggayakan rekaan telekung yang hampir sama namun dengan fabrik berkilauan ketika hadir ke majlis anugerah Gempak Most Wanted pada 27 Februari lalu.
Difahamkan telekung yang digayakan ketika menghadiri majlis anugerah Gempak Most Wanted tersebut direka oleh pereka fesyen yang terkenal dengan rekaan pelik, Behati.