Gaya ‘angkat jari satu’ dijadikan bahan jenaka, sekali Nabil Ahmad bersuara bagitahu maksud sebenar. Penyampai radio dan pengacara popular, Nabil Ahmad meminta orang ramai tidak memperlekehkan gaya ‘angkat jari satu’ yang dilakukan kebanyakan lelaki ketika bergambar dengan kaitan curang.
Nabil, 39, berkata, jangan sewenang-wenangnya mempersendakan gaya ‘angkat jari satu’ itu terutama masyarakat muslim kerana ia menunjukkan tanda Allah Yang Satu.
“Saya sebenarnya kesal, kecewa dan sedih apabila melihat gaya ‘angkat jari satu’ yang juga tanda Allah Yang Satu ini dijadikan bahan jenaka serta dipersendakan segelintir individu dengan kaitan curang.
“Berhati-hatilah dengan apa yang anda lakukan. Tidak semuanya boleh dibuat jenaka dan diperlekehkan dengan mudah. Ambil tahu maksudnya dulu sebab dalam solat lima waktu kita pun memang mengangkat satu jari dilakukan ketika tahiyat awal dan tahiyat akhir.
“Kiralah berapa banyak kali kita angkat dalam solat. Jangan buat main perkara begini. Kalau tak tahu jangan nak perlekeh, dapatkan nasihat daripada orang yang tahu. Agama ajar yang baik, betul, terang dan jelas,” katanya ditemui baru-baru ini.
Nabil berkata, dia juga terkena tempias selepas membuat gaya sama ketika berfoto. Jelasnya, jangan sesekali babitkan tanda Allah Yang Satu dengan perbuatan individu bermasalah seperti curang kerana itu tindakan mereka sendiri.
“Bagi saya, tanda itu (Allah Yang Satu) tak patut dimainkan. Takut lari akidah. Jangan libatkan agama dengan perbuatan itu. Sebabnya, yang bermasalah adalah individu itu sendiri.
“Jangan disebabkan atau apa yang dia dah buat, contohnya dia pergi keluar tabligh, dia angkat tanda (La Ilaha Illallah) terus dianggap ini tanda-tanda lelaki yang akan curang dan pukul isteri,” katanya.
Selain Nabil, pernah diperlihatkan kebanyakan selebriti lelaki bergambar dengan menunjukkan ‘jari telunjuk ke atas’ antaranya Syamsul Yusof, Hafidz Roshdi, Saharul Ridzwan, Zul Ariffin dan ramai lagi.