Gara-gara enggan bayar duit petrol, lelaki pecut kereta sampai tercabut nozel minyak.
Seorang lelaki yang enggan membayar wang isian minyak petrol berjumlah 500 baht (RM65) memecut laju keretanya tanpa mencabut nozel tangki terlebih dahulu, lapor laman berita Thaiger.
Kejadian tersebut berlaku di sebuah stesen minyak di Jalan Hathairat, Bangkok pada Isnin lalu.
Berdasarkan sebuah video yang dimuat naik di aplikasi TikTok, sebuah kereta Toyota sedan berwarna hitam dilihat dipandu di tengah jalan dengan nozel minyak masih berada pada tangki sisi.
Seorang pekerja stesen minyak yang dikenali sebagai Jannarong berkata, suspek mahu mengisi minyak dengan jumlah 500 baht dan menyerahkan sekeping kad keahlian.
Jannarong kemudian memasukkan butiran untuk isian minyak pada kereta suspek, lalu dia berjalan ke tempat juruwang untuk meleretkan kad keahlian tersebut.
Tiba-tiba, dia terdengar bunyi bising sebelum melihat suspek memecut laju keretanya dengan keadaan nozel masih terpasang pada tangki sisi kereta.
Minyak petrol melimpah keluar dari pam di stesen minyak, menyebabkan Jannarong melaporkan kejadian itu kepada pengurusnya.
Hasil pemeriksaan polis akhirnya berjaya mengesan suspek yang dikenali sebagai Phuetmongkon, 47 tahun.
Dia kemudiannya ditahan dan didapati mempunyai beberapa rekod jenayah lampau, kebanyakannya berkaitan kesalahan dadah.