Gaduh sebab duit, adik bakar kakak ketika solat asar hingga maut.
Hanya kerana pertengkaran disebabkan wang, seorang adik tergamak membakar kakak kandungnya hidup-hidup ketika mangsa sedang mendirikan solat Asar dalam satu kejadian di Malang, Indonesia.
Memetik laporan media Indonesia, kejadian yang berlaku pada 22 Oktober itu berpunca daripada suspek, Ruliyanto yang berusia 28 tahun meminta mangsa membayar balik kos pembinaan bilik mandi di rumah ibu mereka.
Bagaimanapun bagi mengelakkan pergaduhan, mangsa telah membawa ibunya ke rumah jiran namun tidak lama selepas itu, mangsa kembali pulang ke rumah tersebut untuk menunaikan solat Asar.
Siapa sangka, suspek yang masih dalam keadaan marah dan tidak dapat mengawal diri bertindak membakar mangsa yang sedang mendirikan solat menggunakan petrol.
Meninggal dunia lepas terima rawatan
Tindakan suspek diketahui tidak lama kemudian apabila ibu mangsa pulang ke rumah dan segera meminta bantuan.
Mangsa telah dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan namun disahkan meninggal dunia lima hari selepas bertarung nyawa.
Suspek yang melarikan diri berjaya ditahan pihak polis dan berdepan hukuman penjara minimun 20 tahun jika sabit kesalahan.