Firdaus Wong kesal tok kadi ‘buli’ pengantin lelaki.
Tular di media sosial mengenai sebuah hantaran yang menceritakan pengalaman seorang pengantin yang ‘dibuli’ ketika majlis pernikahannya berlangsung di sebuah masjid di Kedah baru-baru ini.
Pendedahan itu dibuat oleh pendakwah bebas, Firdaus Wong Wai Hung, yang menceritakan pengalamannya ketika menghadiri upacara perkahwinan sepupu isterinya, di mana dia dan keluarga mendapat layanan kurang baik daripada muazzin, imam, dan saksi di majlis tersebut.
Menurut Firdaus, dia dan keluarga tiba di masjid pada jam 12.45 tengah hari dan disambut mesra oleh jemaah masjid apabila mereka mengetahui bahawa kehadiran mereka adalah bersama rombongan pengantin lelaki.
“Isteri, ibu saudara (ibu pengantin), tetamu dan anak perempuan saya berada di luar ruang solat, terpinga-pinga mencari di manakah tempat solat Muslimah sebab itu kali pertama di situ. Tiba-tiba datang seorang lelaki tua menaiki motor. Isteri saya ucapkan salam dan bertanya dengan nada sopan, ‘Pakcik, di mana tempat solat Muslimah ya?’
“Tanpa sebarang provokasi, pakcik itu meninggikan suara dan berkata, ‘Bukan sini, masuk kat situ. Ini ruang solat lelaki.’ Rupa-rupanya, dia adalah muazzin masjid dan selepas itu dia pula menjadi imam. Selepas solat Zohor, dia tanya kepada abang pengantin, ‘Ada apa?’ dan abang pengantin menjawab, ‘Ada akad nikah kejap lagi.’
“Namun, pakcik itu menafikan dan berkata tiada dalam rekod. Tiba-tiba, seorang lelaki masuk dan menyapa, memaklumkan Tok Kadi akan datang selepas kenduri,” katanya dalam satu hantaran di TikTok pada Ahad.
Kisah ini telah mencuri perhatian netizen, yang terkejut dengan layanan yang diterima oleh pengantin dan rombongan di masjid tersebut.
Mengulas lanjut, Firdaus memaklumkan, apabila jam menunjukkan 2 petang, dia dan keluarga pengantin masuk ke ruang yang sudah dimaklumkan sebelum itu dan secara tiba-tiba ada seorang lelaki pertengahan usia mengusir perempuan untuk duduk pada satu bahagian sahaja.
Menurut Firdaus Wong, ketika kejadian itu berlaku, sebenarnya jumlah wanita yang hadir lebih ramai berbanding lelaki, dan situasi itu seharusnya boleh dipertimbangkan. Namun, suasana itu kelihatan seperti tiada langsung toleransi.
“Tok Kadi tiba pada jam 2 lebih. Dia datang lewat, tidak meminta maaf atas kelewatan, tetapi terus memberi tazkirah. Bukan tazkirah untuk pengantin, tetapi kepada tetamu. Antara perkara yang disebutnya adalah semasa majlis berlangsung, tiada siapa pun yang boleh bersuara,” ujarnya.
Firdaus juga menjelaskan bahawa selepas itu, Tok Kadi membaca Surah Al-Isra (17:32) dan Surah An-Nisa (4:1). Kemudian, Tok Kadi menyerahkan kad pengenalan pengantin lelaki kepada seorang lelaki tua, yang turut menjadi saksi majlis tersebut. Lelaki itu pula, menurut Firdaus, adalah orang yang menghalau perempuan tadi.
Menurut Firdaus Wong, pada waktu itu, dia mula merasa bimbang bahawa pengantin akan dibuli, dan kebimbangan itu akhirnya menjadi kenyataan apabila soalan-soalan yang sama terus ditanya, walhal soalan tersebut sudahpun diajukan kepada bapa pengantin lelaki.
“Pada saat itu, sudah terdetik dalam hati saya berharap mereka tidak akan buli pengantin, dan kebimbangan itu bertukar menjadi realiti apabila bertalu-talu soalan ditanya sedangkan ia sudah disoal kepada bapa raja sehari berkenaan,” ujarnya.
Firdaus juga berkata dia melihat wajah ibu pengantin lelaki yang kelihatan menahan geram dan menggelengkan kepala beberapa kali. Menurutnya, ibu pengantin lelaki itu memang seorang yang sangat penyabar, tetapi kali ini dia dapat melihat reaksi kekecewaan dan kemarahannya.
“Saya panggil abang pengantin yang bertindak sebagai jurugambar dan memintanya untuk memberitahu bapa pengantin perempuan agar meminta saksi itu berhenti membuli pengantin lelaki,” katanya.
Bapa pengantin perempuan kemudian mencuit saksi yang membuli pengantin itu dan meminta agar dia berhenti menyoal serta meneruskan akad nikah. Namun, saksi itu masih meminta semua orang bersabar dan terus bertanya soalan kepada pengantin, malah meminta pengantin lelaki mengulangi lafaz nikah.
“Saya terus menyampuk dan meminta dia mempercepatkan akad nikah, tetapi dimarahi pula. Dia kata sudah dipesan sejak awal tiada siapa boleh menyampuk sewaktu majlis sedang berlangsung,” tambah Firdaus.
Saksi tersebut juga memberitahu bahawa dia telah menguruskan acara seperti itu selama 10 tahun dan mencadangkan supaya keluarga pengantin membatalkan pernikahan itu dan terus ke pejabat agama jika mahu.
Firdaus Wong menjelaskan bahawa, menurut pengetahuannya, urusan pernikahan sepatutnya dipermudahkan, dan prosedur yang dilakukan oleh pihak masjid tersebut jelas tidak betul.
“Walaupun saya sudah menghadiri banyak majlis pernikahan di negeri ini, saya belum pernah melihat adegan buli seperti ini,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa ajaran Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW adalah sempurna dan memudahkan kehidupan umatnya. Namun, kadang-kadang, tindakan sebahagian penganut yang baru diberikan sedikit kuasa menyebabkan agama Islam dilihat rumit dan tidak indah.
“Kadang-kadang, yang menjadikan Islam itu rumit dan hodoh bukan kerana ajaran Islam, tetapi penganutnya yang baru diberi sedikit kuasa tetapi suka menyusahkan orang lain,” jelasnya.
Firdaus turut menyatakan bahawa beliau akan membuat laporan kepada Jabatan Agama Islam Negeri Kedah (JAIK) agar imej Islam tidak dicemari oleh karakter pembuli seperti yang berlaku di majlis tersebut.
View this post on Instagram