Finalis pertandingan Miss Switzerland mati dibunuh dengan kejam, suami kerat mayat guna gergaji.
Bekas model dan finalis pertandingan Miss Switzerland didakwa dibunuh dengan kejam apabila mayatnya dihancurkan dalam pengisar oleh suaminya, lapor seorang jurucakap di Switzerland.
Portal Sky News melaporkan bahawa Kristina Joksimovic, 38, meninggal dunia di rumahnya di Binningen, dekat Basel, Switzerland, pada Februari tahun ini.
Butiran mengerikan mengenai kejadian itu hanya diketahui umum apabila suaminya, Thomas, 41, baru-baru ini mengemukakan rayuan untuk dibebaskan daripada tahanan.
Thomas masih menunggu perbicaraan kes berkenaan. Menurut akhbar tempatan BZ Basel, Mahkamah Persekutuan di Lausanne menolak permohonan rayuan Thomas pada 11 September lalu.
Media tempatan melaporkan bahawa Thomas sebelum ini mengaku membunuh isterinya. Pasangan itu mempunyai dua orang anak.
Thomas mengakui pembunuhan tersebut pada Mac lalu, dengan mendakwa tindakannya adalah untuk mempertahankan diri selepas mendakwa Kristina menyerangnya dengan pisau.
Menurut laporan dari BZ Basel, mahkamah mendapati bahawa Joksimovic telah dicekik hingga mati.
Laporan bedah siasat yang dikemukakan dalam perbicaraan menunjukkan bahawa Thomas mengerat mayat Joksimovic di bilik dobi menggunakan gergaji, pisau, dan gunting.
Bahagian-bahagian badan tersebut kemudian dicincang dengan pengisar dan dilarutkan menggunakan bahan kimia.
Thomas ditangkap sehari selepas mayat Joksimovic ditemukan, lapor BZ Basel.