Filem Anwar: The Untold Story catat sejarah, kutip RM1 juta pada hari pertama tayangan. Filem Anwar: The Untold Story yang memaparkan kisah jatuh bangun perjuangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mencipta sejarah apabila menjadi filem biopik pertama mencatat kutipan RM1 juta pada hari pertama tayangan, semalam.
Berlatarkan tempoh antara 1993 dan 1998 ketika memegang jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, filem berdurasi 108 minit itu ditayangkan di 120 pawagam seluruh Malaysia.
DMY Creation selaku pengedar rasmi filem itu mengesahkan kutipan RM1 juta diperoleh pada hari pertama tayangan biarpun bersaing dengan filem antarabangsa, Fast X.
Pengerusi DMY Creation, Datuk Mohamed Yusoff berkata, pihaknya tidak menyangka kebanyakan pawagam di seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak penuh pada hari pertama tayangan.
“Kami bersyukur filem terbitan Yusrych Global Sdn Bhd ini meraih sambutan luar biasa.
“Lebih menggembirakan, rakyat Malaysia memilih menonton filem biopik yang mengangkat kisah perjuangan Perdana Menteri berbanding karya antarabangsa.
“Anwar: The Untold Story menjadi pembuka jalan untuk pembikin filem menghasilkan filem biopik mengenai tokoh lain pada masa depan.
“Ia sekali gus membuktikan penerimaan penonton terhadap naskhah biopik berdasarkan kisah benar tokoh negarawan yang masih hidup,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sementara itu, Penerbit Eksekutif yang juga penulis cerita asal filem, Zulkiflee Anwar Haque atau Zunar bersyukur sambutan luar biasa diterima.
“Menerusi hasil tinjauan, orang ramai tidak melepaskan peluang memenuhi beberapa pawagam terpilih sekitar Lembah Klang seperti di Atria, MBO, Paradigm Mall, One Utama dan KLCC untuk menonton filem ini.
“Kami berharap sambutan terhadap filem Anwar: The Untold Story akan berterusan kerana kami mensasarkan kutipan tinggi untuk filem ini,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai filem Anwar: The Untold Story, Zunar berkata, filem itu juga mencipta sejarah kerana menjadi filem paling banyak menerima tempahan awal oleh pihak pawagam.
“Saya akui filem ini banyak terima tempahan lebih awal oleh pihak pawagam. Contohnya, pawagam di MidValley dan Pulau Pinang yang sudah penuh dan ditempah lebih awal untuk tayangan filem ini,” katanya.
Mengenai harapannya terhadap filem Anwar: The Untold Story, Zunar berharap filem itu mendapat sambutan berterusan orang ramai.
“Anwar: The Untold Story ini adalah genre yang jarang ada di Malaysia kerana ia membongkar kebenaran dan apa yang berlaku pada 1988.
“Justeru, saya berharap orang ramai akan datang untuk menonton kisah benar yang tidak pernah didedahkan oleh Perdana Menteri,” katanya.
Anwar: The Untold Story turut menyaksikan penyanyi tersohor, Datuk Seri Siti Nurhaliza menyanyikan lagu runut bunyi filem berjudul Menjaga Cintamu ciptaan Andi Rianto dan lirik oleh Sekar Ayu Asmara.
Filem dibimtangi Farid Kamil yang memegang watak sebagai Anwar, manakala aktres terkenal Indonesia, Acha Septriasa membawa watak Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail selaku teraju utama.
Selain itu, filem arahan pengarah Indonesia, Viva Westi itu dimantapkan lagi dengan barisan pelakon seperti Hasnul Rahmat, Firdaus Karim, Saskia Chadwick, Piet Pagau dan Dewi Irawan.
Selain Malaysia sebagai lokasi utama, filem Anwar: The Untold Story turut menjalani penggambaran di Indonesia.
Anwar: The Untold Story mengisahkan perjuangan dan pengorbanan Anwar menentang amalan rasuah dengan sokongan isterinya.