Selepas 28 tahun hilang, polis berjaya menemukan semula Ferrari edisi khas yang dicuri daripada pemiliknya, pemandu Formula Satu (F1), Gerhard Berger, lapor The Guardian.
F512M Testarossa merah bernilai 350,000 pound sterling (kira-kira RM2.1 juta) dicuri di Imola, Itali, pada 1995, ketika orang ramai berkumpul semasa Grand Prix San Marino.
Ia berjaya dirampas di London, baru-baru ini, ketika hendak dijual kepada pembeli dari Amerika Syarikat (AS).
Polis Metropolitan (Met) berkata, kereta itu dalam perjalanan ke Jepun sebelum ditemukan di London.
“Pada Januari tahun ini, Met menerima laporan daripada Ferrari yang menjalankan pemeriksaan ke atas kereta yang dibeli pembeli AS melalui broker UK pada 2023, yang mendedahkan ia adalah kenderaan yang dicuri itu,” katanya.
Katanya, kereta itu tiba di UK pada penghujung 2023 dan apabila yakin ia kenderaan milik Berger, polis merampasnya bagi menghalang daripada ia dieksport.
F512M ialah versi Testarossa yang lebih berkuasa, Ia mempunyai kelajuan tertinggi 315 kilometer sejam (km/j) dan mampu mencapai kelajuan 160.9344 km/j dalam masa 11 saat, menurut Ferrari.
Dalam pada itu, pasukan khas polis menemukan semula 418 kenderaan bernilai 31 juta pound sterling (kira-kira RM186 juta) pada 2023.
Daripada jumlah itu, 326 daripadanya dikaitkan dengan kumpulan jenayah terancang.