Fathia Latiff mengaku suntik botox untuk nampak lebih cantik.
Pelakon Fathia Latiff mengaku telah menjalani pelbagai rawatan untuk mencantikkan wajahnya selepas mendapati kulitnya sudah tidak anjal akibat peningkatan usia.
Menurut Fathia, atau nama sebenarnya Nur Fathia Abdul Latiff, 37, selepas melakukan suntikan botox di muka dan mata serta menambah ‘filler’ di bibir, beliau semakin yakin dengan kecantikan wajahnya.
“Sebelum ini, saya kurang keyakinan diri kerana wajah saya kelihatan cengkung. Saya tidak faham kenapa orang kata saya cantik dulu.
“Saya ada buat ‘filler’ dan suntikan botox. Dulu masa saya muda, muka tegang lagi, tapi semakin meningkat usia, saya perlu melakukan sesuatu pada wajah,” katanya kepada Harian Metro.
Fathia berkata, kebanyakan wanita hari ini semakin terbuka untuk menjalani rawatan wajah dan tidak ambil pusing terhadap segala kecaman yang dilemparkan kepadanya.
“Pada zaman sekarang, semua itu (rawatan wajah) adalah normal. Saya tidak kisah apa orang cakap. Yang saya kisah adalah teguran daripada ibu saya.
“Bila ibu saya nasihat, baru saya akan dengar. Ibu dah suruh berhenti, tapi saya pujuk juga,” ujarnya.
Ketika ditanya mengenai kos rawatan yang dijalani, Fathia berkata semuanya adalah tajaan daripada pusat rawatan kecantikan.
Dalam pada itu, Fathia turut berkata, dia kini sedang dalam proses menurunkan berat badan.
“Sekarang ini, saya perlu kurus. Ada yang nak ‘sponsor’ pembedahan bariatrik, tapi saya masih fikir lagi.
“Dalam masa sama, saya sedang mendapatkan ubat kurus selain mahu kembali aktif bersenam,” katanya.
Sebelum ini, penampilan Fathia sering mendapat kritikan netizen kerana perubahan wajah yang dialaminya itu. Kebanyakan mendakwa Fathia terlalu berlebihan untuk kelihatan cantik sehingga menyebabkan wajahnya tidak seperti dahulu.