
Faizal Tahir lelong trofi AJL, barangan koleksi peribadi demi Palestin
Faizal Tahir lelong trofi AJL, barangan koleksi peribadi demi Palestin.
Demi membantu rakyat Palestin, Faizal Tahir sanggup melelong trofi Anugerah Juara Lagu (AJL) dan Anugerah Industri Muzik (AIM) yang dimenangi termasuk beberapa barangan koleksi peribadi bernilai tinggi.
Faizal berkata, lelongan barangan itu akan dibuat pada acara amal, Faith4Palestine yang dianjurkan gerakan kemanusiaannya, iamFaithmen dan syarikat rakaman, Faithful Music, lusa.
“Saya akan lelong trofi… Insya-Allah. Piala yang saya pernah menang di AJL dan AIM dahulu semua. Saya akan lelong gitar kesayangan, banyak sebenarnya. Iya, saya sayang (semua barangan itu).
“Saya akan lelong kasut yang sangat saya sayang dan bernilai tinggi. Sayang sebenarnya, tetapi saya lepaskan demi saudara kita di Palestin.
“Selain itu, ada juga barangan permainan edisi terhad yang dikumpul. Siapa yang ikuti saya dari dahulu tahu yang saya banyak koleksi Superman, Iron Man dan Star Wars… Semua ini saya akan lepaskan untuk Palestin,” katanya.
Faizal berkongsi niat murninya itu ketika ditemubual penyampai radio Kool 101, Muaz Mohamed dan Haiza Hanafi menerusi segmen Pagi On Point, pagi tadi.
Penyanyi lagu Assalamualaikum itu sedia melelong barangan terbabit kerana koleksinya itu tidak bermakna jika tidak memberi manfaat kepada insan memerlukan.
Antara barangan koleksi peribadi milik penyanyi, Faizal Tahir yang dilelong di showcase ‘Faith 4 Palestine’ hari ini untuk tabung bantuan Palestin. pic.twitter.com/vaPHU4d1mN
— Buletin TV3 (@BuletinTV3) November 12, 2023
“Ini kesedaran untuk diri saya bahawa benda-benda yang ada pada saya, bukan saya punya sebenarnya. Sampai bila saya hendak simpan benda macam ini.
“Kadang-kadang kita ‘display’ tengok macam itu sahaja, tidak boleh guna untuk apa-apa kebaikan pun. Ini datang dari kesedaran yang suatu hari nanti, saya akan mati, mana ada orang yang tidak mati,” katanya.
Melalui Faith4Palestine yang dianjurkan di Hotel Royale Chulan Damansara, Ahad ini, Faizal akan membuat persembahan akustik dengan menampilkan artis jemputan lain termasuk mengadakan sesi rakaman podcast dan lelongan amal barangan peribadi.
Acara amal itu dijadual berlangsung antara jam 2 hingga 4 petang. Tiket dijual pada harga RM99 dengan keuntungan daripada kutipan akan disalurkan kepada tabung bantuan Palestin melalui rakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Cinta Gaza Malaysia.