Faisal sudah keluar hospital, dibenarkan pulang ke rumah selepas 3 minggu

Faisal sudah keluar hospital, dibenarkan pulang ke rumah selepas 3 minggu

Selepas tiga minggu menjalani rawatan di hospital, pemain Selangor FC (SFC), Faisal Halim akhirnya dibenarkan pulang ke rumah, hari ini.

Perkembangan itu dimaklumkan oleh SFC menerusi kenyataan media yang menyatakan bahawa Faisal atau lebih mesra dikenali sebagai Mickey telah mengharungi empat pembedahan sepanjang berada di hospital swasta di sini, selepas menjadi mangsa simbah asid pada 5 Mei lalu.

Faisal yang juga pemain kebangsaan akan menjalani rawatan susulan selepas ini termasuk dari aspek psikologi dalam usaha untuk dia kembali beraksi di atas padang.

Faisal sudah keluar hospital, dibenarkan pulang ke rumah selepas 3 minggu

“Berdasarkan pemerhatian dan rawatan doktor pakar yang bertugas, pemulihan Faisal Halim daripada kecederaan serius ini amat luar biasa dan menjangkaui jangkaan semua pihak.

“Faisal Halim kini memasuki fasa seterusnya dalam proses rawatan dan pemulihan beliau. Pihak kelab dan keluarga Faisal Halim memohon agar semua pihak dapat memberi ruang dan privasi untuk beliau melalui proses pemulihan ini dengan sebaiknya.

“Mari kita bersama-sama terus mendoakan kesejahteraan dan kesembuhan yang sepenuhnya buat Faisal Halim dan semoga beliau dan keluarga terus diberikan kekuatan mengharungi waktu yang sukar ini,” jelas kenyataan SFC.

Faisal sebelum ini mengalami luka lecuran tahap empat selepas menjadi mangsa simbah asid di sebuah pusat beli-belah di Kota Damansara.

Berdasarkan laporan sebelum ini, pemain sayap berusia 26 tahun itu dijangka memerlukan tempoh antara tiga hingga enam bulan lagi sebelum boleh kembali beraksi.

Menerusi kenyataan sama, SFC turut berterima kasih kepada semua pihak yang terbabit sepanjang Faisal menerima rawatan termasuk rakyat Malaysia yang mendoakan kesembuhan pemain itu.

“Setinggi-tinggi penghargaan diucapkan kepada keluarga besar Selangor FC, pemimpin negeri dan negara, badan kerajaan dan swasta, komuniti bola sepak tempatan dan antarabangsa, dan seluruh rakyat Malaysia yang mendoakan kesejahteraan serta memberi dorongan semangat kepada ikon bola sepak negara kesayangan kita,” katanya.

Baca Juga:
Murid darjah 5 masuk hospital akibat didenda berjemur lebih 2 jam ditengah padang
Pencuri seluar dalam masuk perangkap
“Orang buat persiapan, kau sibuk buat ‘live’” – Ogy kecewa sikap 2 influencer yang biadap
CATEGORIES