Facebook Ustaz Azhar Idrus 2.7 juta followers hilang dari radar.
Akaun media sosial milik pendakwah bebas terkenal, Ustaz Azhar Idrus dilaporkan ‘hilang’ secara tiba-tiba sejak semalam, menurut dakwaan netizen.
Carian oleh MalaysiaGazette juga mendapati Laman Rasmi Facebook milik penceramah kelahiran Terengganu itu kini tidak lagi aktif.
“Kandungannya tidak tersedia pada masa ini. Apabila ini berlaku, biasanya kerana pemilik hanya berkongsinya dengan sekumpulan kecil orang atau menukar orang yang boleh melihatnya, atau ia telah dipadamkan,” tulis laman itu.
Sementara itu, seorang netizen dikenali sebagai Ustaz Hj Taufik UT turut mempertikaikan kehilangan laman rasmi tersebut.
“Page Ustaz Azhar Idrus Official yang ada 2.7 juta pengikut dah hilang dari radar. Angkara siapa? Mohon Menteri Komunikasi YB Fahmi Fadzil bantu dapatkan semula. Jutaan orang dapat manfaat daripada page tersebut,” katanya.
Azhar, 60, yang lebih dikenali sebagai UAI, terkenal dengan gaya penyampaian ceramahnya yang bersahaja dan diselitkan dengan jawapan dalam dialek Terengganu.
Beliau sangat aktif dalam menyampaikan dakwah dalam usaha meninggikan syiar Islam di negara ini. Pendekatan yang dibawa oleh Azhar juga sangat berbeza jika dibandingkan dengan pendakwah-pendakwah lain kerana pengisian ceramah beliau bukan sahaja merangkumi ceramah fardu ain, malah turut diselitkan dengan sesi soal jawab agama.