Exco Perak hantar pulang pesakit warga emas yang menunggu lama di pondok pengawal. Prihatin terdapat seorang pesakit yang terlalu lama menunggu untuk pulang ke rumah selepas dibenarkan keluar dari Hospital Kampar, seorang Exco Kerajaan Negeri Perak mengambil keputusan menumpangkan individu terbabit dengan menaiki kenderaan rasminya pada Jumaat.
Menerusi perkongsian di Facebook, Exco Komunikasi, Multimedia dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Perak, Mohd Azlan Helmi menjelaskan, tindakannya menghantar pulang seorang warga emas itu dilakukan selepas membaca hantaran daripada seorang individu dalam grup WhatsApp mengenai keadaan lelaki terbabit.
Beliau menawarkan diri membantu warga emas tersebut kerana kebetulan berada berhampiran hospital berkenaan dan tempat tinggal pesakit tersebut juga tidak jauh dari situ.
“Ketika membaca perbualan-perbualan dalam ruang grup WhatsApp, saya terbaca berkaitan seorang pesakit yang baharu lepas dicaj dari Hospital Kampar menanti waris keluarga sudah agak lama di pondok pengawal untuk dibawa pulang ke rumah.
“Saya mengambil keputusan untuk langsung ke hospital Kampar bagi menghantar pakcik tersebut pulang ke rumah,” katanya menerusi hantaran tersebut pada Jumaat.
Dalam hantaran berkenaan, Mohd Azlan turut mendoakan agar warga emas yang berusia dalam lingkungan 70-an itu dipermudahkan segala urusan sempena bulan Ramadan.
Sementara itu, ketika dihubungi, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tualang Sekah itu berkata, maklumat tersebut diterima daripada salah seorang pengawal keselamatan hospital berkenaan yang berada di dalam grup WhatsApp tersebut.
Menurutnya, selepas itu pesakit berkenaan yang tinggal bersama isterinya dibawa pulang ke rumahnya di Kampung Tualang Sekah dekat sini.