‘Empat puluh minit Datuk, anak saya merintih macam ayam kena sembelih’

Photo of author

By Syima Iza

‘Empat puluh minit Datuk, anak saya merintih macam ayam kena sembelih’

“Empat puluh minit Datuk, anak saya merintih macam ayam kena sembelih. Dia (pelaku) keluar kereta dan tengok tanpa reaksi sebelum pergi.”

Luahan itu disuarakan Muhd Zamrie Zainal Abidin, 55, bapa kepada pelajar Tingkatan Lima, Muhammad Zaharif Affendi 17, yang maut selepas motosikal ditunggangnya dilanggar kereta dipandu pegawai kanan polis dalam kejadian berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jati di Meru, di sini kelmarin.

Pesara tentera itu tidak dapat menahan perasaannya ketika Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri, menziarahi kediaman keluarga Muhd Zamrie di Taman Chepor Sentosa di sini, petang semalam.

'Empat puluh minit Datuk, anak saya merintih macam ayam kena sembelih'

Muhd Zamrie mengakui isteri pelaku yang juga guru di SMK Jati, datang menemuinya di lokasi kejadian bagi memohon maaf.

“Isteri dia kata suaminya memang panas baran, tak boleh dengar ‘rem’ (memulas pendikit) motosikal.”

“Anak saya bukan penjenayah, dia pelajar sekolah. Adakah atas alasan motosikal bising membolehkan dia dilanggar sampai mati, sedangkan masalah motosikal bising itu boleh diselesaikan dengan mengeluarkan saman.

“Saya hilang anak dan menang atau kalah, anak saya tak kembali. Tapi saya tak mahu kejadian ini berlaku pada anak orang lain.

“Masa kejadian ramai orang dan sesak di situ, dah nak waktu solat Jumaat dan ibu bapa juga mahu mengambil anak dari sekolah.

“Anak saya sudah hentikan motosikal, mungkin mak minta maaf selepas tak larat nak pusing (memecut motosikal), tapi dia (pelaku) melanggarnya dan gelar anak saya ‘budak rempit’.

“Kalau dia (pelaku) tak kena (hukuman setimpal), saya menyesal tak sudah jadi ayah kerana saya nampak depan mata anak saya merintih sebegitu,” katanya.

Siasatan ke atas pegawai kanan polis berpangkat Deputi Superintendan itu dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Suspek berusia 44 tahun yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah itu direman tiga hari sehingga esok.

Muhammad Zaharif Affendi yang juga calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) SMK Jati, meninggal dunia di lokasi kejadian selepas motosikalnya dikejar dan dilanggar dari belakang oleh kereta dipandu suspek.

Baca Lagi:
“Minta maaf, suami saya memang panas baran, tak boleh dengar orang rem ekzos motor” – Isteri pegawai kanan polis
Pegawai kanan polis ditahan langgar mati pelajar 17 tahun depan sekolah
Bapa pelajar maut dilanggar rebah ketika Ketua Polis Perak datang ziarah