Empat Petugas Jakoa berdepan detik cemas, kereta dihanyut arus ketika misi bantuan banjir

Photo of author

By Syima Iza

Empat Petugas Jakoa berdepan detik cemas, kereta dihanyut arus ketika misi bantuan banjir.

Empat kakitangan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) berdepan detik cemas apabila kenderaan utiliti sukan Toyota Fortuner yang dinaiki dihanyutkan arus deras ketika dalam perjalanan keluar dari Kampung Orang Asli Sedohok, petang tadi.

Walau bagaimanapun, kejadian kira-kira pukul 2 petang itu tidak menyebabkan sebarang kecederaan dan semua kakitangan selamat keluar dari kereta berkenaan.

Empat Petugas Jakoa berdepan detik cemas, kereta dihanyut arus ketika misi bantuan banjir

Pengarah Jakoa negeri, Faisal Long berkata, kenderaan berkenaan yang berada pada baris kelima konvoi dipandu oleh Mohd. Fuad Abdul Rahman, 45, dan membawa tiga lagi kakitangan Muhammad Saffri A. Rashid, 36, Hazard Katemin, 41, dan Muhammad Daniel Darwish Abdullah, 34.

Sebaik sampai di kawasan yang dinaiki air, secara tiba-tiba kereta berkenaan bergerak ke kiri jalan sebelum secara perlahan-lahan hanyut kira-kira 10 meter dari jalan selepas tersangkut pada sebatang pokok.

“Selepas semua mereka keluar, anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta Polis Daerah Kluang yang turut sama dalam konvoi berkenaan membantu mengeluarkan kereta dari dalam air,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sebelum kejadian, konvoi menghantar bakul makanan ke Kampung Orang Asli Sedohok yang disertai oleh Ketua Pengarah Jakoa, Datuk Sapiah Mohd. Nor melalui jalan alternatif dari Batu 17 untuk masuk ke kampung berkenaan.

Dalam pada itu, Mohd. Fuad berkata, walaupun berada pada baris kelima konvoi, namun dia tidak nampak jalan kerana tahap ketinggian air kira-kira paras lutut.

Katanya, jalan dilalui itu dipercayai runtuh selepas empat kenderaan sebelum itu melaluinya menyebabkan kenderaan dipandunya seperti terjatuh seterusnya dihanyutkan arus deras.

“Tanpa berfikir panjang saya mengarahkan tiga lagi rakan yang turut berada dalam kenderaan supaya keluar dari tingkap.

“Sekali lagi detik cemas berlaku apabila kedalaman air tempat kenderaan dihanyutkan itu melebihi paras kepala menyebabkan kami nekad berenang ke tempat cetek,” katanya.

Sepanjang bertugas sebagai pemandu di Jakoa sejak 22 tahun lalu, kejadian itu adalah yang pertama berlaku melibatkan kemalangan dan berdepan detik cemas.

Baca Juga:
Driver Kembara halang laluan ambulan, rupanya ada masalah..
Pengunjung risau tengok harimau putih di Zoo Melaka, gelisah macam ada sesuatu, ini respon MPHTJ
Terbabas dalam longkang besar, wanita berpaut pada Myvi diselamatkan dua lelaki