Elak terlanggar patung penyu, peserta RXZ Members maut dalam kemalangan di LPT2.
Seorang peserta Program Himpunan RXZ Members 6.0 maut manakala seorang lagi cedera parah selepas cuba mengelak daripada melanggar patung penyu di atas lebuh raya dalam kejadian di Kilometer 270.1, Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) menghala ke Kuantan pada Ahad.
Mangsa, Mohamad Firdaus Abdul Rashid, 29, yang berasal dari Bandar Seri Jempol, Negeri Sembilan, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Hanyan Ramlan berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 11 pagi apabila motosikal Yamaha yang ditunggang mangsa dan sebuah lagi motosikal jenis sama terbabas akibat mengelak objek tersebut.
“Kemalangan dipercayai berlaku apabila kedua-dua motosikal jenis Yamaha RXZ yang ditunggang mangsa mengelak patung penyu yang berada di laluan sebelah kiri lebuh raya.
“Bagaimanapun, kedua-dua motosikal itu bergesel pada bahagian pemegang, menyebabkan kedua-duanya terbabas,” katanya pada Ahad.
Beliau turut memaklumkan bahawa mangsa yang cedera parah, Muhamad Shafiq Abdul Halim, 29, dari Bandar Baru Serting, Negeri Sembilan, telah dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan, Pahang, untuk rawatan lanjut.
Difahamkan, kedua-dua mangsa dalam perjalanan pulang ke rumah masing-masing selepas menyertai program Himpunan RXZ Members 6.0 di Kuala Nerus.
“Mayat mangsa yang meninggal dunia telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk tindakan lanjut. Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.