Elak beli ikan buntal, hampir semua ikan buntal mengandungi racun. Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) menasihatkan orang ramai agar mengelakkan membeli ikan buntal tanpa mengetahui jenisnya di pasaran.
Ketua Pengarah Perikanan Malaysia, Datuk Adnan Hussain berkata, hal itu kerana hampir semua jenis ikan buntal mengandungi toksin yang boleh menyebabkan keracunan jika dimakan secara tidak betul.
Jelas beliau, adalah penting memastikan orang yang mengendalikan ikan buntal untuk dimakan adalah berpengalaman dan berpengetahuan terhadap ikan ini.
“Sekiranya anda memilih untuk mencuba hidangan atau produk berasaskan ikan buntal, elakkan memakan bahagian tubuh ikan buntal yang mengandungi toksinnya seperti hati, kulit, usus, dan ovarium.
“Bahagian-bahagian ini perlu dibuang dengan betul sebelum dimasak. Ini kerana tetrodotoxin tidak akan musnah walaupun dimasak pada suhu yang tinggi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Adnan berkata, pengguna yang membeli ikan di atas talian terutama dalam bentuk filet, perlu cakna dengan spesies dan jenis ikan yang dibeli.
Tambah beliau, peniaga pula perlu berwaspada dengan makanan yang dijual (termasuk ikan) kerana jika sabit kesalahan, boleh dikenakan tindakan.
“Mengikut Akta Makanan 1983 (Akta 281) dan Peraturan Peraturan: Bahagian III Kesalahan dan Keterangan – Seksyen 13 (1) a. Mana-mana orang yang menyediakan atau menjual apa-apa makanan yang ada dalam atau padanya apa-apa bahan yang beracun, merosakkan atau memudaratkan kesihatan – adalah melakukan kesalahan dan apabila disabitkan boleh dikenakan penjara selama tempoh tidak lebih daripada 5 tahun atau denda atau kedua duanya,” katanya.
Adnan berkata, di Malaysia, terdapat beberapa jenis ikan buntal yang mengandungi toksin saraf dan kerap didapati.
Katanya, menurut statistik Jabatan Perikanan Malaysia, jumlah pendaratan ikan buntal di Malaysia pada 2020 adalah sekitar 1337 tan, dengan pendaratan tertinggi di Perak (804 tan), diikuti Sarawak (228 tan) dan Sabah (192 tan).
Katanya, ikan buntal yang biasa ditangkap adalah dari spesies Lagocephalus iaitu ikan buntal pisang.
“Di antaranya ikan buntal pisang emas (Lagocephalus wheeleri), buntal pisang muda (Lagocephalus spadiceus), buntal pisang kasar (Lagocephalus lunaris) di mana ketiga-tiga spesies ini secara luaran nampak sama,” katanya.