’Dulu jual air jagung tepi jalan, sekarang Amir Raja Lawak buka restoran AP Fried Chicken di Kelantan’.
Pelakon dan pelawak Amir Raja Lawak meluahkan rasa syukur apabila berjaya mengembangkan lagi perniagaannya dengan membuka perniagaan menjual ayam goreng, francais AP Fried Chicken.
Menerusi perkongsian di Facebook, Amir menyatakan bahawa kedai makan tersebut telah dibuka di medan selera stadium Kota Bharu, Kelantan, dan mula beroperasi pada Isnin lalu.
“Asalamualaikum, dengan keberkatan penghulu segala hari, saya ingin memberitahu bahawa saya akan membuka kedai di medan selera stadium Kota Bharu, Kelantan, di lot kedai berdekatan tangga yang menghadap Hotel Perdana.
“Kali ini, perniagaan saya menjual ayam goreng, francais dari AP Fried Chicken, insya-Allah turut menyediakan kentang goreng, burger, nasi dan lain-lain lagi. Semoga perniagaan ini diberkati Allah dan dipermudahkan segala urusan kami serta kita semua. Aamiin,” katanya.
Sebelum ini, Amir pernah mengusahakan perniagaan Air Jagung Amerreka secara kecil-kecilan pada tahun 2017, dan turut mempunyai agen serta stokis di beberapa negeri.