Dulu ahli Umno, kini Ras Adiba Radzi sertai Bersatu.
Selepas bekas Timbalan Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz menyertai BERSATU, bekas Senator, Datuk Ras Adiba Radzi turut berbuat demikian apabila kedua-dua mereka menerima watikah keahlian parti berkenaan, malam tadi.
Watikah berkenaan disampaikan Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Negeri (PRN) Perikatan Nasional (PN) Negeri Sembilan di Taman Warisan Puteri Sikamat, di sini.
Dua lagi individu iaitu bekas Ketua Wanita PKR Negeri Sembilan, Azlimah Zamli dan bekas Ketua Cabang PKR Jelebu, Mazmi Ahmad Yusof turut menerima watikah berkenaan.
Penyerahan itu turut disaksikan Naib Presiden PAS, Datuk Idris Ahmad, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan; Pengerusi PN Negeri Sembilan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu; Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim dan Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Seri Saifuddin Abdullah.
Ras Adiba sebelum ini dilantik sebagai Senator bagi mewakili golongan kurang upaya (OKU) pada Mei 2020 iaitu ketika pemerintahan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri.
Ras Adiba ketika ditemui berkata, beliau memilih menyertai BERSATU untuk menyokong perjuangan gabungan PN dalam membela nasib rakyat termasuk golongan OKU.
Beliau percaya hanya PN berupaya mengembalikan kecemerlangan dan kesejahteraan negara.
“Saya sudah memikirkan beberapa minggu untuk menyertai BERSATU, walaupun sebelum ini ramai kalangan sahabat handai yang mempelawa untuk menyertai BERSATU.
“Selepas mengamati keadaan politik di negara kita, saya dengan kepemimpinan di bawah Tan Sri Muhyiddin, akan memberikan sokongan penuh sebagai anak Negeri Sembilan untuk berjuang bersama BERSATU dalam PN,” katanya.
Ras Adiba mengakui sebelum ini beliau adalah ahli UMNO sehingga akhir tahun lalu tetapi memutuskan untuk menyertai BERSATU berikutan senario politik yang berubah.
Beliau ingin membantu BERSATU dan PN dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) bulan depan dalam memastikan PN dapat mengambil alih pemerintahan di Negeri Sembilan.
“Penyertaan saya dalam BERSATU bukan dengan tujuan untuk dicalonkan (dalam PRN) tetapi demi untuk perjuangan PN iaitu gabungan yang mampu membela nasib rakyat.
“Saya akan memberikan sokongan 500 peratus kepada sahabat dalam BERSATU untuk membantu memastikan PN dapat membentuk kerajaan negeri dalam PRN ini nanti,” katanya.