“Dulu ada 6 meja sahaja” – Pelanggan lama kongsi pengalaman bisnes Pak Mat Western sebelum terkenal.
Pak Mat Western sudah cukup terkenal di Malaysia, sehingga jika ada isu hangat, mereka pasti menjadi yang pertama untuk membuat video parodi yang akan ditonton oleh jutaan rakyat Malaysia.
Namun, kejayaan yang dikecapi ini bukanlah semudah yang disangka kerana ada kisah permulaan yang tidak diketahui ramai.
Baru-baru ini, pemilik FB Nasi Arab Tambah Kira Halal telah berkongsi kisah permulaan perniagaan Pak Mat dari komentar yang dijumpai di FB Pak Mat Western dan menceritakan semula kepada orang ramai.
Difahamkan mereka sudah bertapak sejak 2015 lagi, menurut tukang komen, yang juga bergelar pelanggan otai PMW di kedai lama yang terletak di tepi jalan raya.
Malah, dia memaklumkan kedai Pak Mat Western dulu bermula dengan hanya 6 meja sahaja.
Ekoran lokasi perniagaan yang berada di tepi jalan, peminat otai ini juga mendakwa mereka sukar mencari parkir, sekaligus menjadi memori yang diingatinya sebelum Pak Mat Western mencapai kejayaan seperti hari ini.
Selepas 9 tahun berlalu, PMW kini sudah menjadi sebuah jenama yang gah, dari sudut pemasaran sahaja, dan namanya kini menjadi bualan di kalangan netizen.
“Yang mana kenal dia sekarang ni, inilah dia dulu masa awal-awal bertapak, legend dan kenangan sebab nak cari parking susah nak mampu*h,” tulisnya pada gambar.
Turut disertakan gambar yang kualitinya agak kabur, tetapi cukup jelas untuk dikenali apabila terpampang papan tanda dengan jenama Pak Mat Western berdekatan papan tanda jalan Simpang Tiga Juru, dengan warna ikoniknya iaitu hijau dan putih.
Perkongisan gambar kedai Pak Mat Western telah membuat ramai tersentuh kerana bisnes yang dahulunya hanya bermula di tepi jalan kini sudah bertukar menjadi empayar besar di Malaysia.
Ramai juga yang berkongsi pengalaman atau kenangan mereka pernah mencuba PMW sebelum ia menjadi popular seperti hari ini. Meskipun ramai orang datang, ia sudah menjadi perkara biasa, tetapi servis dan makanan sentiasa tiptop, kata bekas pelanggan otai.
Dalam pada itu, ramai yang menitipkan pesanan buat Pak Mat Western untuk menambah baik layanan dan kualiti makanan di restoran mereka hari ini, sambil mendoakan agar mereka terus berjaya dan berkembang pesat lagi.