Duit syiling emas 999.9 berwajah Agong dijual RM3,250 sekeping

Photo of author

By Syima Iza

Duit syiling emas 999.9 berwajah Agong dijual RM3,250 sekeping.

Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini telah mengeluarkan duit syiling peringatan sempena pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17, Sultan Ibrahim, yang berlangsung pada 20 Julai lalu.

Menurut kenyataan BNM, duit syiling peringatan ini dikeluarkan dalam tiga denominasi, iaitu syiling peringatan emas, perak sterling, dan Nordic Brilliant Uncirculated (B.U.).

Duit syiling emas 999.9 berwajah Agong dijual RM3,250 sekeping

“Duit syiling emas diperbuat daripada emas dengan ketulenan 999.9 dan beratnya lapan gram setiap keping. Nilai muka duit syiling ini ialah RM100 dan dijual pada harga RM3,250 sekeping, dengan sejumlah 300 keping sudah ditempa,” kata kenyataan tersebut.

Bagi syiling perak sterling, ia diperbuat daripada perak dengan ketulenan 92.5 dan seberat 31 gram sekeping. “Nilai muka syiling ini ialah RM10 dan dijual pada harga RM275 sekeping, dengan 1,300 keping telah ditempa,” tambahnya.

Duit syiling emas Nordic B.U pula diperbuat daripada tembaga serta campuran logam lain dengan berat 8.5 gram sekeping. “Nilai muka syiling ini ialah RM1 dan dijual pada harga RM16.50 sekeping, dengan sejumlah 5,000 keping sudah ditempa,” kata BNM.

Selain itu, BNM turut menjual set dua dalam satu yang mengandungi sekeping duit syiling perak sterling dan sekeping duit syiling emas Nordic, dengan harga RM330 setiap set. Sebanyak 1,300 set telah disediakan untuk pembelian.

Duit syiling peringatan ini adalah unik kerana tertera tulisan “Pertabalan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVII” di sekeliling bahagian atas syiling, manakala nama BNM sebagai pihak berkuasa pengeluar duit syiling ini terpapar di sekeliling bahagian bawahnya.

BNM menegaskan bahawa untuk memastikan peluang pembelian yang adil kepada orang ramai, setiap individu hanya dibenarkan membeli satu set dua dalam satu, sekeping syiling emas, sekeping syiling perak sterling, dan tidak lebih daripada lima keping syiling emas Nordic B.U.

“Orang ramai boleh membuat tempahan melalui laman web duit.bnm.gov.my bermula jam 11 pagi ini hingga jam 11 malam 13 Oktober ini,” kata BNM.

Mereka turut menasihatkan agar tempahan dibuat melalui sistem dalam talian BNM sahaja dan bukan melalui pihak lain. “Jika tempahan melebihi jumlah yang ditawarkan, cabutan akan dibuat untuk menentukan tempahan yang berjaya,” tambah kenyataan itu.

Baca Juga:
Masih ramai tak tahu apa maksud garisan ‘zigzag’ di jalan raya, ini penjelasan MBSA
Penutup simen di Masjid India tiba-tiba terangkat jadi tanda tanya orang ramai
Pelik hanya lelaki sahaja di masjid, wanita dari Maghribi terkejut kaum wanita di Malaysia tidak solat jumaat