Dalam suasana meriah menyambut Aidilfitri di kampung halaman, sebuah keluarga tidak menyangka rumah mereka yang ditinggalkan telah menjadi mangsa pecah masuk dengan kehilangan barang-barang berharga.
Menerusi video yang dimuat naik oleh @syazaaein_ di akaun TikTok malam tadi, dia terperanjat apabila sampai di rumah mereka yang terletak di Kuala Lumpur dan mendapati rumah itu berselerak seperti digeledah.
Dia berkata, mereka baru sahaja menempuh kesesakan lalu lintas hampir 10 jam dari kampung di Kedah sebelum tiba di rumah.
Wanita itu dan keluarganya terkejut melihat hampir semua bilik, termasuk ruang tamu, dalam keadaan berantakan akibat penggeledahan.
“Ini adalah ujian bagi kami sekeluarga semasa pulang ke kampung halaman. Kami sangat terkesan. Barang dari bilik ibu dan ayah dipunggah dan diletakkan di luar.
“Wang tunai saya juga diambil, sama seperti tabung adik. Barang kemas mak ayah semuanya hilang.
“Bahkan ikan dalam tangki sebanyak 14 ekor menjadi mangsa. Subhanallah, berapa hari hidup tanpa oksigen kerana elektrik dipadamkan oleh individu yang pecah masuk ke rumah,” katanya dalam video tersebut.
Diketahui, sebelum mereka pulang ke kampung, wanita itu mendakwa sudah mengisi borang di balai polis untuk meminta perlindungan bagi rumah mereka yang ditinggalkan.
“Sebelum pulang ke kampung, saya sudah mengisi borang di balai polis. Ayah juga telah memberitahu kawan polisnya. Laporan polis juga telah dibuat, dan dua balai polis telah kami datangi,” katanya.
Tinjauan Kosmo! di ruangan komen menunjukkan banyak yang bersimpati dan mendoakan agar keluarga tersebut dipermudahkan dalam menghadapi ujian itu.
“Mental mereka pasti tercabar, mereka sudah penat pulang dari kampung, berhadapan dengan kesesakan lalu lintas, dan belum hilang lagi masalah. Semoga Allah memberikan gantian yang lebih baik kepada mereka,” kata Kasih.
“Subhanallah kak, saya merasakan ketakutan melihat video akak. Rumah saya juga menjadi mangsa pada tahun 2019, jika tidak silap saya. Pulang dari kampung memang terasa tidak selesa. Saya hanya membuka pintu, dan melihat ruang tamu sudah bersepah,” komen Lola.