Dua remaja Pakistan hilang selepas merajuk ditegur guna vape ditemui di Melaka.
“Alhamdulillah, kedua-dua anak gadis saya ditemukan dalam keadaan selamat dan sihat,” kata wanita warga Pakistan, Aakash Sultan Parvez, 43.
Aakash berkata, kedua-dua anak gadisnya, Seher Ismail, 16 dan Meher, 15, yang menghilangkan diri pada 24 Mei lalu, di Danga Bay di sini, ditemui di Melaka semalam, sebelum dibawa balik ke Johor, hari ini.
Menurutnya, dalam tempoh menghilangkan diri akibat merajuk ditegur menggunakan vape, mereka pernah berhasrat untuk pulang ke rumah namun bimbang penerimaan ahli keluarga.
“Saya bersyukur kerana kami sudah berdamai dan saling bermaafan, sebagai ibu saya bimbang keselamatan mereka kerana tidak biasa hidup di sini.
“Saya umpama bernyawa semula selepas dimaklum mereka ditemukan dalam keadaan selamat,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, polis menemukan kedua-dua remaja perempuan itu di sebuah pusat beli belah di Melaka.
“Mereka didapati dalam keadaan sihat dan baik,” katanya.